SAMBUTAN 55 TAHUN: RPJJ USM TERUS MELAKAR LEGASI PENDIDIKAN TERBUKA
USM PULAU PINANG, 12 Januari 2026 – Tahun 2026 menjadi detik yang amat bermakna buat Universiti Sains Malaysia (USM) amnya dan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) khasnya apabila Rancangan Pengajian Jarak Jauh (RPJJ) akan menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-55.

Sepanjang lebih lima dekad, RPJJ USM telah mengukir sejarah tersendiri sebagai peneraju Pembelajaran Terbuka dan Jarak Jauh (ODL) di Malaysia, sekali gus menyumbang besar kepada agenda kelestarian pendidikan tinggi di dalam negara.
RPJJ mula dibangunkan pada tahun 1971, dengan visi murni untuk membuka peluang pendidikan tinggi kepada golongan dewasa, pekerja, dan masyarakat yang tidak berpeluang mengikuti pengajian secara konvensional.
Pelbagai pihak telah mendapat manfaat daripada program yang dahulunya dianggap sukar dan luar biasa. Namun, selepas COVID-19, pembelajaran dalam talian menjadi sesuatu yang sangat mendapat sambutan pada masa kini.
Sejak itu, RPJJ terus berkembang seiring perubahan zaman, teknologi, dan keperluan industri, tanpa mengorbankan kualiti akademik yang menjadi teras kecemerlangan USM yang juga satu-satunya Universiti bertaraf APEX (Program Pemacuan untuk Kecemerlangan).

RPJJ Merentasi Generasi
Dekan PPPJJ, Profesor Madya Dr. Zulnaidi Yaacob telah melancarkan logo sambutan 55 tahun dan tema sambutan yang dipilih iaitu “RPJJ Merentasi Generasi” bagi menonjolkan perjalanan 55 tahun RPJJ dalam menyediakan akses pendidikan berkualiti kepada pelajar jarak jauh atau terbuka dari pelbagai generasi.
Ia menggambarkan kesinambungan, kemampanan, dan evolusi RPJJ yang sentiasa menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan keperluan semasa.
Tema ini sesuai dengan peranan RPJJ sebagai peneraju pendidikan terbuka dan jarak jauh yang kekal relevan dari dahulu hingga sekarang.
Tidak dinafikan pembelajaran secara terbuka dan jarak jauh kian popular dan menjadi tarikan kepada anak muda, namun membuat pilihan yang terbaik adalah sukar dan sangat kompetitif.
Oleh yang demikian, pelajar dan alumni RPJJ memainkan peranan penting sebagai duta institusi yang berkongsi pengalaman pembelajaran, kejayaan dan sumbangan kepada masyarakat.
Sebagai duta, testimoni para pelajar dan alumni adalah salah satu platform bagi mempromosi program kepada legasi masa hadapan.
Selain itu, penglibatan aktif alumni diharap dapat memperkukuh hubungan berterusan antara institusi di samping menyokong pembangunan PPPJJ dan pelajar aktif.
Bukan sumbangan wang ringgit yang menjadi taruhan, tetapi ilmu pengetahuan serta perkongsian pengalaman dapat membantu memajukan PPPJJ khasnya dan USM amnya.
Di samping itu, kerjasama strategik bersama rakan industri dan komuniti membuka ruang kepada pelaksanaan program berasaskan keperluan semasa, pemindahan ilmu dan inovasi, serta penerokaan peluang latihan dan kerjaya.
Pendekatan ini selaras dengan aspirasi RPJJ untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah berdaya saing, beretika, dan relevan dengan kehendak industri serta pembangunan masyarakat.
Perancangan Aktiviti Sepanjang Tahun 2026
Pelbagai aktiviti telah dirancang sepanjang tahun 2026 dengan penglibatan warga PPPJJ, alumni, pelajar, rakan kolaborasi, dan komuniti.
Sambutan ini bukan sahaja bertujuan untuk meraikan pencapaian lalu, malah menjadi platform strategik untuk memperkukuh hala tuju serta jaringan kerjasama dengan rakan kolaborasi pada masa hadapan.
Melalui penganjuran pelbagai program akademik, profesional, dan kemasyarakatan, sambutan ini turut menjadi medan bagi memperluas jaringan kerjasama dengan rakan industri, agensi kerajaan, institusi pendidikan, badan professional, dan organisasi bukan kerajaan.
Kejayaan RPJJ bukan hanya diukur melalui jumlah graduan, tetapi melalui impak sosial, kebolehpasaran graduan, dan sumbangannya kepada pembangunan masyarakat.
Sambutan 55 tahun ini menjadi bukti bahawa RPJJ USM bukan sekadar sebuah rancangan pengajian, tetapi sebuah legasi pendidikan terbuka yang telah mengubah kehidupan ribuan individu merentasi latar belakang, usia, dan lokasi geografi.
Kesimpulannya, sambutan 55 tahun RPJJ USM dapat menyuntik semangat baharu kepada semua pihak untuk terus mendukung falsafah pembelajaran secara terbuka dan sepanjang hayat.
RPJJ USM akan terus komited melahirkan graduan holistik, berdaya saing, dan berilmu demi kesejahteraan negara dan dunia.
Teks & Foto: Nor Rafizah Haji Md Zain, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) USM
- Created on .
- Hits: 200