USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SISTEM E-KIRAAN MANTAPKAN PROSES PEMILIHAN

221013-1

PULAU PINANG, 22 Okt 2013 – Universiti Sains Malaysia(USM) memperkenalkan sistem E-Kiraan dalam proses Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar USM yang akan diadakan pada 24 Oktober ini. Sistem ini bakal digunakan buat kali pertama di ketiga-tiga kampus iaitu Kampus Induk, Kampus Kesihatan dan juga Kampus Kejuruteraan bagi memantapkan proses pengiraan kertas undi dan mempercepatkan proses pengiraan yang dijangka akan memakan masa hanya sekitar 3 jam.  

Menurut Pemangku Naib Canselor, Profesor Dr Adnan Hussein sistem ini telah diuji dua kali melalui proses ujian (mock), yang terakhir pada Sabtu lalu dan didapati sistem ini berjalan lancar sepenuhnya tanpa sebarang kesulitan. 

“Proses pemilihan kali ini akan menggunakan borang Optical Mark Recognition (OMR) yang akan diimbas bagi mendapatkan kiraan bagi seseorang calon. Sistem akan menolak kertas-kertas undi yang rosak sama ada pemilihan bilangan calon yang kurang atau lebih oleh seseorang pengundi. 

“Sebelum itu, secara manual, kertas-kertas undi diperiksa keadaan fizikalnya bagi memastikan kertas yang rosak seperti terkoyak atau renyuk tidak mengganggu proses mesin pengimbas,” tambah Adnan semasa sidang media khas mengumumkan keputusan pencalonan. 

221013-2

Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar USM (MPPUSM) kampus bagi sidang 2013/2014 ini mempertandingkan sebanyak 31 buah kerusi untuk Konstituensi Pusat Pengajian manakala 9 buah kerusi Konstituensi Umum. Di samping itu, 5 kerusi diperuntukkan untuk Ijazah tinggi iaitu tiga di Kampus Induk dan masing-masing satu di Kampus Kasihatan dan Kejuruteraan menjadikan keseluruhan 45 kerusi dipertandingkan.    

Namun begitu, seramai 14 orang calon menang tanpa bertanding iaitu bagi lima Kostituensi Pusat Pengajian dan satu Konstituensi Umum di Kampus Induk, tiga konstituensi pusat pengajian Kampus Kesihatan, dua konstituensi pusat pengajian dan satu konstituensi Umum (Ijazah Tinggi) di Kampus Kejuruteraan. Dua lagi calon adalah dari Konstituensi Pusat Pengajian bagi calon Ijazah Tinggi di Kampus Induk. 

Sistem E-kiraan ini adalah dibawah pengawasan Jawatankuasa Keutuhan E-kiraan yang dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) dan ahli-ahlinya terdiri daripada pakar teknologi dan juga wakil Pejabat Perundangan. 

“Saya berharap proses pemilihan kali ini akan berjalan lancar dan proses pengiraan akan bermula jam 6.00 petang pada 24 Oktober ini yang dijangka berakhir tiga jam kemudian, berbanding dengan sebelum ini keputusan hanya diketahui lewat tengah malam atau awal pagi,” kata Adnan.

Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal dan Pembangunan Pelajar) USM itu juga berharap, calon-calon akan mematuhi setiap peraturan yang ada terutamanya untuk bertindak matang dan tidak bertanding sebagai satu kumpulan yang bertentangan dengan dasar yang ada. 

“Mereka akan dibenarkan mengadakan rapat umum pada malam esok dan lusa di Padang Kawad USM dan juga berkempen di dewan-dewan kuliah selagi dibenarkan oleh pensyarah, namun mereka tidak boleh mempunyai platform berkumpulan yang boleh menyebabkan pencalonan mereka dibatalkan,” tambahnya lagi. 

Menurut Adnan, calon-calon juga tidak dibenarkan membawa orang luar untuk berkempen dan elakkan dari melakukan serangan peribadi. 

“Yang penting, saya mengharapkan juga calon-calon mendidik penyokong-penyokong mereka untuk keluar membuat pemilihan pada 24 Oktober ini dan menunjukkan kaedah yang betul bagi memastikan undi mereka tidak ditolak atau dikira sebagai undi rosak,” kata Adnan. 

Para pelajar juga boleh mengundi awal iaitu pada 23 Oktober ini selama satu jam mulai 9.00 pagi bagi mereka yang terpaksa mewakili USM ke pelbagai aktiviti luar dan kertas undi mereka akan kemudiannya dibawa untuk disimpan di Jabatan Keselamatan yang akan di “seal” sehingga hari pemilihan pada keesokan harinya untuk dicampur bersama yang lain. 

Pada tahun lalu peratusan pelajar yang keluar mengundi adalah kurang dari 50% kerana untuk pertama kali pelajar ijazah tinggi turut membuat pemilihan dengan bilangan mereka yang berbuat demikian amat sedikit, yang sekaligus menurunkan peratusan pemilih.  

Namun secara puratanya pelajar ijazah pertama yang turun membuat pemilihan biasanya sekitar 60%, satu jumlah yang besar dalam kalangan pelajar universiti pengajian ijazah pertama. Teks: Mohamad Abdullah dan Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 1645

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024