USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TKSU PEMBANGUNAN KPT TINJAU PROJEK RMK-13 DI USM

PULAU PINANG, 13 Januari 2026 — Universiti Sains Malaysia (USM) menerima lawatan kerja Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan, bagi meninjau kemajuan projek pembangunan universiti di bawah Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), di sini semalam.

4D8D93D6 4898 4559 A9F1 86764CD1E53E

Lawatan berkenaan bertujuan mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai status pelaksanaan beberapa projek utama yang diluluskan kepada USM bagi tahun 2026.

26123778 F740 4C62 9E9C C1B936355943

Dalam sesi berkenaan, Mohd Nor Azman dibawa ke beberapa lokasi strategik, antaranya tapak cadangan pembinaan baharu bagi pengembangan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di kompleks Sains@USM di Bukit Jambul.

FFD3D27F 0625 47FF A6FD EBDC0CD0FEA8

Projek itu dijangka siap sepenuhnya pada 2029 dan bakal menyokong keperluan pengajaran serta penyelidikan berimpak tinggi dalam bidang kejuruteraan.

CFE597AD 4746 4C34 B5A7 FA5D9CC2E0F4

Delegasi turut melawat Bangunan C08 (Dewan Kuliah A dan B), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan bagi meninjau fasiliti sedia ada sebelum pelaksanaan kerja naik taraf ke konsep Kelas Pembelajaran Pintar (Smart Learning Classroom)  yang akan dibiayai melalui peruntukan RMK13.

5B278B70 DDD8 4C53 BD2A F90480948618

Turut dimuatkan dalam rangka lawatan kerja berkenaan adalah lawatan ke Klinik Pakar Klinikal dan Penyelidikan Kanser (KPKPK) untuk melihat tapak cadangan pembinaan Pusat Pengajaran Kanser (Cancer Teaching Centre), antara projek utama USM dalam memperkukuh ekosistem pendidikan serta penyelidikan kanser negara.

7DFC190A E0DA 422C 819B 18F19701CFA0

Selain itu, beliau turut diberikan taklimat mengenai operasi Wad Neurosains di KPKPK, yang berperanan sebagai pusat rujukan dan rawatan neurologi bertaraf nasional serta menyokong agenda penyelidikan klinikal berimpak tinggi.

Sesi lawatan kerja itu turut disertai Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, Timbalan-timbalan Naib Canselor, Pengarah Hospital Pakar USM (HPUSM), Pengarah Kampus Kesihatan, Pengarah Kampus Kejuruteraan, Pengarah KPKPK, Bendahari, Pengarah Pejabat Pengurusan Projek serta wakil Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti (JPPF).

Lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan KPT dan USM dalam memastikan pelaksanaan projek pembangunan RMK13 dilaksanakan secara strategik, berfokus serta memberi impak berterusan kepada pembangunan pendidikan tinggi negara.

Teks & Foto: Pejabat Pengurusan Projek (PMO), USM

  • Created on .
  • Hits: 205

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025