USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TUBUHKAN CREDENTIA, PERKUKUH LALUAN PENDIDIKAN FLEKSIBEL DAN EKOSISTEM MICRO-CREDENTIAL NEGARA

PULAU PINANG, 12 Januari 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) memperkukuh agenda transformasi akademiknya apabila Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) meluluskan penubuhan Unit Pendidikan Fleksibel dan Pentauliahan (Flexible Education and Credentialing Unit – Credentia).

IMG 0449

Penubuhan Credentia merupakan satu langkah strategik dalam memantapkan ekosistem micro-credential (MC) USM melalui penyediaan mekanisme pentauliahan serta pengurusan rekod kelayakan mikro yang berstruktur, berpusat dan boleh disahkan.

Inisiatif ini memperkukuh tadbir urus kelayakan mikro selaras dengan keperluan pendidikan tinggi masa kini yang semakin fleksibel dan berorientasikan keperluan industri.

Sebagai entiti rasmi universiti, Credentia bertanggungjawab menganugerahkan Malaysia Micro-credential Statement (MMS) bagi semua Standalone Micro-Credential (SAMC) dan Accredited Programme Micro-Credential (APMC) yang diiktiraf.

Credentia dikoordinasikan oleh Timbalan Dekan Teknologi dan Sokongan Pembelajaran, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Dr. Chua Hang Kuen, dan beroperasi di bawah seliaan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat.

Struktur tadbir urus ini mencerminkan kepentingan strategik Credentia dalam menyokong agenda akademik, inovasi pembelajaran, dan pengantarabangsaan USM.

Antara fungsi utama Credentia ialah pengeluaran MMS secara rasmi, penyelenggaraan rekod micro-credential yang komprehensif serta penyediaan perkhidmatan pengesahan kepada pihak berkepentingan dalaman dan luaran, termasuk institusi pengajian tinggi dan majikan.

Kesemua fungsi ini disokong oleh Micro-Credential Credit Bank System (MCCBS), sebuah repositori digital berpusat yang memastikan integriti, kebolehcapaian dan kebolehoperasian rekod kelayakan mikro.

Penubuhan Credentia sejajar dengan pelantikan USM oleh Kementerian Pendidikan Tinggi sebagai Universiti Awam Rintis bagi pembangunan laluan akademik fleksibel ijazah bertimbun (stackable degree).

Melalui pendekatan ini, USM menyediakan laluan pembelajaran modular, progresif dan fleksibel bagi menyokong pembelajaran sepanjang hayat, pemindahan kredit serta pengiktirafan pembelajaran terdahulu, sama ada di dalam atau di luar universiti.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, penubuhan Credentia memperkukuh ekosistem micro-credential USM melalui pentauliahan berkualiti, kebolehkesanan kelayakan, dan nilai tambah yang jelas kepada pelajar serta industri. Inisiatif ini memperluas akses kepada pendidikan fleksibel yang berdaya saing dan relevan dengan keperluan semasa.

Seiring dengan perkembangan ini, Credentia dijangka menjalin kerjasama strategik dengan platform micro-credential antarabangsa bagi memperluas pengiktirafan dan meningkatkan mobiliti global peserta dalam rancangan ini.

Secara keseluruhan, penubuhan Credentia memperkukuh kedudukan USM sebagai peneraju nasional dan antarabangsa dalam pendidikan fleksibel serta inovasi micro-credential, sekali gus menyokong pertumbuhan institusi yang mampan melalui transformasi akademik dan digital berteraskan kualiti.

  • Created on .
  • Hits: 236

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025