USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

GOL MINIT AKHIR BAWA USM FC KE FINAL, CIPTA SEJARAH LAYAK KE LIGA A1 2026/2027

KUALA SELANGOR, 10 Januari 2026 – USM FC mencipta malam penuh magis apabila gol dramatik pada minit ke-95 memastikan kemenangan 2-1 ke atas AAK Puncak Alam FC, sekali gus mengheret pasukan itu ke final Liga A2 Amatur dan melayakkan diri ke Liga A1 musim 2026/2027, petang tadi.

WhatsApp Image 2026 01 12 at 10.02.56 AM

Lebih membanggakan, kejayaan itu menyaksikan USM FC muncul sebagai kelab pertama dari Pulau Pinang yang berjaya menembusi Liga A1, sekali gus mengukir sejarah baharu bola sepak negeri.

Perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Utama Kuala Selangor itu berlangsung penuh debaran apabila AAK Puncak Alam FC terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Sukri Hamid pada minit ke-74, sekali gus meletakkan USM FC dalam tekanan tinggi.

Namun semangat juang luar biasa anak buah USM FC membuahkan hasil apabila Aidil Danial menyamakan kedudukan pada minit ke-88, sebelum Syazwi Suhaimi menjadi wira dengan gol kemenangan pada minit ke-95, mematikan terus kebangkitan tuan rumah.

Kemenangan itu memastikan USM FC mara ke final dengan agregat 2-1, selain mengesahkan slot automatik ke Liga A1 musim depan, pencapaian yang belum pernah diraih mana-mana kelab dari Pulau Pinang sebelum ini.

Pendaftar Universiti Sains Malaysia (USM) merangkap Presiden USM FC, Mohd Azizudin Mohd Shariff, menyifatkan kejayaan itu sebagai hasil pengorbanan dan kepercayaan seluruh pasukan.

“Ini bukan sekadar kemenangan, tetapi sejarah untuk USM, USM FC, dan Pulau Pinang. Para pemain menunjukkan semangat juang luar biasa hingga wisel penamat. Gol di minit akhir itu melambangkan karakter pasukan yang tidak pernah mengalah,” katanya sejurus tamat perlawanan.

Menurut beliau, kelayakan ke Liga A1 adalah pencapaian besar, namun fokus pasukan kini adalah untuk menamatkan kempen dengan lebih cemerlang.

“Kami bersyukur layak ke Liga A1 musim 2026/2027, tetapi misi belum selesai. Final menentang AZM Rovers FC adalah cabaran besar dan kami mahu menutup musim ini dengan gelaran juara,” ujarnya.

USM FC dijadualkan berdepan AZM Rovers FC dari Kelantan dalam perlawanan akhir Liga A2 Amatur pada 24 Januari 2026, dengan misi jelas — menamatkan musim bersejarah ini sebagai juara.

Sorakan dan pelukan kegembiraan mengiringi wisel penamat, menandakan hari penuh bersejarah dan epik yang akan dikenang lama oleh penyokong USM FC.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 422

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025