USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MENYELESAIKAN MASALAH KEHIDUPAN DENGAN MENDIDIK DAN MENGUBATI KALBU

211013-3

PULAU PINANG, 21 Oktober 2013-  Apa jua kaedah dan pendekatan holistik yang diambil untuk menyelesaikan mahu pun pencegahan sistematik yang dibuat, mengadakan peraturan atau usaha menghadapi keruntuhan moral yang ternyata menimbulkan bencana lebih menyeluruh dalam menghadapi abad ke-21, kita perlu kembali kepada usaha mengembalikan roh yang hilang termasuk dalam ekonomi baharu, politik atau pengurusan sudut pandang dunia seluruhnya dan paradigm keadilan kepada roh yang  tidak boleh diukur serta dimensi moral dalam krisis peradaban yang ada sekarang ini.

Dengan erti kata lain, dalam era kehidupan manusia yang begitu mencabar, dengan kadar peningkatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam banyak negara yang menyebabkan timbulnya pelbagai masalah sosial, ekonomi atau kehancuran lainnya, kita memerlukan pemimpin yang mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang dapat mengembalikan roh dan nilai yang berlandaskan ketakwaan dan kalbu untuk memimpin ke arah kebenaran dan kebahagiaan yang diinginkan manusia.

Demikian antara kesimpulan dalam syarahan oleh Profesor Ulung Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hassan yang bertajuk The Heart of the Problems Vis-à-vis the Problems of the Heart” di sini hari ini. Hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dr. Muhammad Jantan, Pengarah Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) Profesor Muhammad Syukri Salleh, dekan-dekan dan ketua-ketua jabatan serta lebih 100 pelajar. 

Menurut Mohd. Kamal, persoalan hati dan kalbu telah dikupas oleh pelbagai pihak dan ahli-ahli pakar pelbagai agama dunia yang secara umumnya bersetuju bahawa persoalan besar dalam masalah manusia ialah hati atau kalbunya sendiri. 

211013-4

Mohd. Kamal mengupas dan melihat bagaimana isu kalbu ini dibincangkan dalam agama Kristian, Hindu, Buddha dan lain-lain termasuk agama Islam yang sememangnya banyak menyebut tentang persoalan kalbu dan hubungannya dengan Tuhan dan manusia seluruhnya melalui Al-Quran dan hadis serta dikupas oleh ulama-ulama dan ilmuwan terkemuka. 

“Imam Al-Ghazali misalnya banyak mengupas isu hati dan kalbu ini serta bagaimana untuk mengubati penyakit yang berkaitan dengan hati atau kalbu,” kata Mohd. Kamal. 

Tambahnya lagi, usaha mendidik dan mengubati kalbu ini penting dalam menghadapi pelbagai masalah yang ada pada hari ini  dalam semua golongan terutamanya untuk menghadapi penyakit seperti tamak, hasad dengki, ego, bongkak dan pelbagai lagi yang boleh membawa kehancuran kepada umat manusia apatah apabila hal-hal seperti nilai dan etika sudah tidak lagi dianggap penting dan menjadi punca kepada kemusnahan seperti mana yang dapat dilihat pada unjuran kadar rasuah dalam kalangan negara dunia termasuk negara-negara Islam dan etika dalam ekonomi yang merudum berdasarkan kajian-kajian yang dibuat. 

Profesor Ulung Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hassan baharu dilantik sebagai professor kunjungan di ISDEV USM.  

Mohd Kamal Hassan juga bersetuju dengan pandangan bahawa penerapan kasih sayang melalui kalbu ini akan lebih berkesan jika dapat diterapkan melalui pedagogi yang berteraskan nilai bersama ini. 

“Semua agama melihat kasih sayang dan ikatan kalbu yang kuat untuk bersatu yang harusnya boleh digunakan sebagai nilai bersama untuk menyatupadukan umat manusia demi kedamaian dan kesejahteraan bersama,” kata Mohd Kamal memberi respon kepada soalan dan pandangan oleh seorang peserta yang hadir. Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 1302

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024