RAKYAT MALAYSIA DAN USM PRIHATIN - Anjur Persidangan Pengurusan Bencana Pasca Banjir
KUBANG KERIAN, KELANTAN, 25 Januari 2015 - Rakyat Malaysia menerima bencana banjir dan bencana alam sebagai satu dugaan dan redha. Malah ia dijadikan sebagai satu usaha untuk melakukan muhasabah.
Demikian dinyatakan oleh Pro Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Tan Sri Datuk Mustafa Mansur ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perutusan Naib Canselor USM Profesor Dato' Dr. Omar Osman yang bertajuk Bersama-sama Untuk Kecemerlangan Universiti (BUKU) 2015 Memacu Kecemerlangan Pengajian Tinggi Negara di USM Kampus Kesihatan di sini.
"Kita dapat melihat rakyat Malaysia yang sangat prihatin, yang membantu dengan ikhlas dengan pelbagai cara, malah dua orang anak saya misalnya turun balik dari Kuala Lumpur untuk turut membantu seperti mana ramai lagi yang berbuat demikian tatkala Kelantan dan negara kita dilanda banjir," kata Mustafa.
Beliau memuji kesungguhan warga USM termasuk pelajar, pakar dan pegawai perubatan, kakitangan lain dan semua sukarelawan yang membantu dengan hati terbuka dan penuh komitmen.
"Kita berbangga dengan kesungguhan masyarakat kita," tambah Mustafa.
Beliau menyampaikan sumbangan USM kepada 500 kakitangan yang menjadi mangsa dan terkesan dengan banjir di samping turut menyampaikan sijil-sijil penghargaan khas kepada para sukarelawan USM yang terlibat membantu semasa dan selepas banjir di Kelantan.
Sementara itu, Naib Canselor USM berkata, pada tahun 2015 USM akan meneruskan usaha menerapkan budaya kecemerlangan dalam kalangan warganya.
"Kita berharap warga USM dapat menggunakan kecemerlangan sebagai satu budaya kerja untuk membawa USM melihat kepada hasil atau outcome agar APEX benar-benar dapat memberi sumbangan yang terbaik kepada masyarakat dengan menggunakan kekuatan atau nic yang ada," kata Omar.
Tambahnya lagi, USM juga berhasrat untuk berkongsi hasil usaha pembangunan ilmu termasuk melalui Penyelidikan dan Inovasi sebagai teras pembangunan negara di samping memberi perkhidmatan yang terbaik dengan penghasilan graduan yang boleh memenuhi keperluan ekonomi negara.
"Saya bersyukur, kerana ketika negara memerlukan bantuan semasa bencana banjir baru-baru ini, Kampus Kesihatan terutamanya Hospital USM telah memberi perkhidmatan terbaik dan kampus ini menjadi kampus lestari dalam menghadapi bencana alam.
Saya bersama-sama Canselor, Pro-pro Canselor dan ahli-ahli Lembaga Gabenor amat berpuas hati termasuk peranan para sukarelawan kita apatah lagi setiap hari lebih 100 pesakit baharu dibantu dan lebih 120 pesakit dalam kes-kes kecemasan ditangani serta membantu lebih 200 kes perpindahan pesakit termasuk kira-kira 100 kes yang dihantar menggunakan helikopter dengan sewajarnya," kata Omar.
Naib Canselor juga memaklumkan tentang komitmen USM bersama-sama Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan untuk mengadakan Persidangan Pengurusan Bencana Banjir Kelantan 2015 pada 14 hingga 16 Februari ini di USM Kampus Kesihatan Kubang Kerian Kelantan.
"Kita sedang berusaha mengumpulkan lebih 250 orang pakar dan lebih 400 orang peserta untuk membincangkan lima fokus utama persidangan," kata Omar.
Lima fokus tersebut ialah Sosial, Infrastruktur, Ekonomi/Penghasilan, Langkah Tebatan Banjir dan Kerangka Kerja/Polisi.
"Kita akan melihat dari pelbagai aspek seperti isu perumahan, pendidikan, kesihatan yang meliputi hospital dan klinik, tenaga, sisa pepejal dan sepihan, pengangkutan, pertanian dan penternakan, perniagaan, industri, polisi, kewangan, isu-isu sebab banjir, impak alam sekitar dan sosio-ekonomi, isu kepelbagaian biologi, perparitan dan saliran, tadbir urus, kesukarelawanan, cadangan penyelesaian serta pelbagai isu lain yang berkaitan," jelas Omar.
Tambah Naib Canselor itu lagi, pihaknya berharap untuk dapat mendengar pengalaman dan pandangan terus dari mereka yang terlibat, pendapat pakar dan pelbagai pihak untuk menyediakan cadangan kepada kerajaan dan pembuat dasar dalam perancangan menghadapi bencana terutamanya banjir untuk jangka panjang.
Persidangan ini akan menggunakan kaedah mesyuarat 'town hall' di samping perbincangan panel dan forum.
Lebih 1,000 warga USM Kampus Kesihatan hadir majlis Perutusan Naib Canselor termasuk Pengarah Kampus Profesor Dato' Dr. Mafauzy Mohamed, Pengarah Hospital USM Dato' Dr. Zaidun Kamari dan dekan-dekan.
Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 1649