USM DAN KOMUNITI SUNGAI NIBONG BERSATU JAYAKAN KAMPUNG ANGKAT MADANI 2025
SUNGAI NIBONG, PULAU PINANG, 5 Januari 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini mengadakan Majlis Peluncuran Kampung Angkat MADANI (KAM 2025) di Dewan Masjid Ittifaq, Sungai Nibong sebagai penutup projek dan program KAM yang telah dijalankan sejak Jun lalu.

Majlis tersebut yang berlangsung pada 23 Disember 2025, diadakan bagi memperkukuh kesejahteraan komuniti melalui pendekatan pembangunan inklusif, mampan, dan berimpak tinggi.
Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, inisiatif ini bukan sekadar simbolik, sebaliknya menandakan komitmen jangka panjang universiti dalam membangunkan komuniti setempat secara kolaboratif selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

“USM percaya peranan universiti melangkaui pendidikan dan penyelidikan semata-mata. Kami turut memikul tanggungjawab sosial untuk menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Beliau menjelaskan, program itu dirangka berteraskan prinsip libat urus, serta kerjasama dengan universiti dan komuniti.
Antara inisiatif utama yang dilaksanakan merangkumi pembangunan keusahawanan belia, naik taraf infrastruktur komuniti, inisiatif kesihatan, serta aktiviti sosial dan riadah termasuk pembangunan gelanggang permainan bagi tujuan riadah komuniti.

“Pelaksanaan pelbagai program ini bertujuan menyantuni keperluan sebenar komuniti secara menyeluruh, sekali gus meningkatkan kualiti hidup dan daya tahan sosial masyarakat Sungai Nibong,” tambah beliau.
Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap penglibatan aktif kepimpinan komuniti, belia, agensi kerajaan, dan setiap jabatan USM yang terlibat dalam menjayakan projek tersebut.
Majlis dirasmikan oleh ADUN Batu Uban, YB Kumaresan Aramugan yang turut menandatangani plak perasmian Gelanggang Permainan Komuniti.

Sepanjang tahun 2025, inisiatif KAM 2025 telah melaksanakan pelbagai program berimpak tinggi yang dirangka khas untuk memenuhi keperluan sebenar komuniti Sungai Nibong secara menyeluruh.
Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri & Masyarakat USM, Profesor Dr. Azlan Amran; Pengarah Jaringan Masyarakat, Bahagian Jaringan Industri & Masyarakat (BJIM) USM, Profesor Madya Dr. Muhammad Izzuddin Syakir Ishak; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pulau Pinang, Dato’ Haji Aziz Bakar; dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Sungai Nibong, Tuan Haji Roslan Mohamed.
Teks: Sharifah Darweena Syed Ahmad Amir Feisal, Pejabat Jaringan Masyarakat, BJIM USM
- Created on .
- Hits: 200