USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KERJASAMA USM DAN HOSPITAL PULAU PINANG JAYAKAN PAMERAN KESEDARAN RADIASI PERUBATAN

PULAU PINANG, 18 Disember 2025 – Pameran Kesedaran Radiasi “Debunking Myths and Promoting Safety Awareness” menerusi Program Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) 2025 telah melabuhkan tirai dengan jayanya apabila berjaya memberi pendedahan serta pengetahuan baharu kepada orang awam mengenai radiasi perubatan, khususnya dari segi keselamatan penggunaan, manfaat dalam diagnosis dan rawatan, serta kepentingan memahami keseimbangan antara risiko dan faedah.

RY

Inisiatif ini dianjurkan oleh Pusat Pengajian Sains Fizik, Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Hospital Pulau Pinang, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), yang berlangsung 9.00 pagi hingga 2.00 petang di Hospital Pulau Pinang, George Town.

E

Pameran ini turut disertai 39 pelajar tahun akhir Sarjana Muda Fizik Perubatan USM yang dibimbing oleh Profesor Madya Dr. Nursakinah Suardi selaku Ketua Projek SULAM 2025 dan Dr. Nik Noor Ashikin Nik Ab Razak sebagai Rakan Kerjasama Projek.

ER

Sebagai program kedua di bawah projek SULAM 2025 anjuran Pusat Pengajian Sains Fizik, pameran ini menumpukan perhatian kepada pengunjung hospital yang hadir untuk mendapatkan rawatan serta staf kesihatan bagi meningkatkan kesedaran berkaitan sinaran.

WhatsApp Image 2026 01 06 at 4.30.05 PM

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Dr. Siti Hajar Ismail, Timbalan Pengarah Perubatan Hospital Pulau Pinang, yang menyifatkan pameran ini sebagai platform perkongsian yang sangat efektif.

Menurut beliau, pameran ini membolehkan para pelajar menyampaikan maklumat berkaitan penggunaan radiasi perubatan kepada masyarakat umum secara langsung, sekali gus membantu merungkai mitos dan salah faham mengenai radiasi.

Beliau turut menegaskan bahawa inisiatif ini selaras dengan keperluan pelajar yang bakal melangkah ke alam profesional tidak lama lagi untuk lebih yakin dalam berkomunikasi dan berinteraksi dengan khalayak umum — sekali gus mengukuhkan kesiapsiagaan mereka.

Pada akhir program, kira-kira 300 pengunjung telah hadir ke reruai pameran yang bukan sahaja mempamerkan maklumat berkaitan radiasi, malah turut merangkumi pameran kesedaran kanser serta pelbagai aktiviti interaktif bersama pengunjung.

Program ini berjaya memupuk pelbagai kemahiran dalam kalangan pelajar, antaranya kemahiran komunikasi, keyakinan diri, kerja berpasukan dan kepimpinan, sejajar dengan harapan serta objektif Ketua Program SULAM 2025, Profesor Madya Dr. Nursakinah Suardi.

Beliau turut menekankan kepentingan memberikan pendedahan yang jelas dan tepat kepada masyarakat mengenai penggunaan radiasi, di samping memupuk kemahiran insaniah dan profesional dalam kalangan pelajar agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai medium pendidikan berterusan kepada masyarakat serta platform praktikal dalam bidang fizik perubatan.

Teks: Puteri Nur Ain Megat Hasbuddin & Rabiatuladawiah Hasbullah/Suntingan: Shafinaz Md Ismail/Foto: Pelajar Kelas ZME438 Sidang 2025/2026

  • Created on .
  • Hits: 284

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025