USM FC BURU BEKALAN SELESA, SASAR KEKAL TANPA KALAH DI SEPARUH AKHIR

USM, PULAU PINANG, 2 Januari 2026 – Ketua pasukan Universiti Sains Malaysia FC (USM FC), Redzuan Suhaidi, menggesa rakan sepasukan agar mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga A2 Amateur 2025/2026 ketika bersiap sedia menghadapi aksi separuh akhir pertama menentang AAK Puncak Alam FC di laman sendiri esok malam.
Redzuan mengakui perlawanan berkenaan dijangka mencabar berikutan pengalaman luas dimiliki pasukan lawan, namun menegaskan USM FC kekal fokus untuk meneruskan momentum kemenangan yang dibina sepanjang musim.
“Kami menghormati kekuatan lawan, tetapi itu bukan alasan untuk kami beraksi di bawah kemampuan sebenar, sebaliknya disiplin dan fokus sepanjang perlawanan menjadi keutamaan,” katanya.
Beliau turut menekankan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri sebagai faktor penting yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi membina bekalan jaringan selesa menjelang perlawanan timbal balik di tempat lawan.
“Kami tidak memandang rendah mana-mana pasukan, sebaliknya menyasarkan kemenangan dengan kelebihan dua atau tiga gol tanpa bolos bagi memudahkan tugasan pada perlawanan kedua,” katanya.
Mengulas ancaman penyerang AAK Puncak Alam FC, Fa’es Hafize, yang telah meledak 18 gol musim ini, Redzuan menegaskan pasukannya telah menyediakan perancangan taktikal rapi bagi menyekat pergerakan pemain berkenaan.

Manakala Presiden USM FC, Mohd Azizudin Mohd Shariff pula berkata beliau amat yakin dan percaya dengan kemampuan pemain-pemain USM FC untuk mengekalkan momentum tanpa kalah dan beraksi cemerlang pada hari esok perlawanan.
“Harapan saya, USM FC mengharumkan nama USM dari segi kehebatan dalam sukan pula khususnya bola sepak di peringkat kebangsaan selari dengan misi 'Kami Memimpin' USM.
"Saya percaya dengan semangat juang yang ditunjukkan oleh pasukan, kita akan dapat mencapai kejayaan yang diimpikan dan menjadi inspirasi kepada generasi akan datang,” jelas beliau.
USM FC muncul sebagai antara pasukan paling konsisten musim ini selepas menamatkan saingan Zon Utara tanpa sebarang kekalahan, sekali gus mengukuhkan reputasi sebagai pencabar utama kejuaraan.
Prestasi cemerlang tersebut diteruskan di peringkat suku akhir apabila USM FC menyingkirkan MBMB Warrior FC dengan agregat 7–2 untuk mara ke separuh akhir.
Aksi separuh akhir pertama dijadual berlangsung pada Sabtu, 3 Januari 2026, jam 8.45 malam di Stadium Olahraga USM, Pulau Pinang.
Ayuh, penyokong setia USM FC, hadir beramai-ramai bagi memberikan sokongan padu dan menjadi pemain ke-12 pasukan dalam misi memburu kemenangan penting di laman sendiri.
Sumber: FB Amateur Football League/Suntingan: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 364