USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PUMPCOOLA: KHASIAT LABU DIPERKAYA JADI MINUMAN KESIHATAN

211013-2

JOHOR BAHRU, 21 Okt.2013 – Sayur labu yang kebiasaannya dimasak sebagai hidangan bersama nasi kini boleh dipertingkatkan khasiatnya menjadi minuman kesihatan, yang menyamai khasiat minuman yogurt buah-buahan.

Penemuan julung kali yang dihasilkan melalui sayur berbanding buah-buahan itu dibuat oleh seorang penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Uthumporn Utra @ Sapina Abdullah melalui kajian lebih setahun yang dijalankannya.

Menurut beliau, labu mempunyai fiber yang amat tinggi iaitu dua kali ganda berbanding buah mangga, amat sesuai untuk mereka yang sedang mengamalkan diet pemakanan serta yang mementingkan penjagaan kesihatan.

``Minuman ini juga berupaya menggantikan pengambilan yogurt kerana sayur labu turut mempunyai organisma hidup (bakteria baik) yang membantu memperbaiki sistem pencernaan badan manusia, sama fungsi dengan yogurt yang dibeli di pasaran.

``Ia turut bersifat semulajadi dan dihasilkan tanpa menggunakan sebarang perasa tiruan mahupun pewarna,’’ ujar beliau ketika ditemui pada Pameran BioMalaysia dan Bioekonomi Asia Pasifik 2013 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini.

Tambah Sapina, produk yang diberi nama PumpCoola itu turut mempunyai tahap antioksidan yang tinggi, selain rasanya yang unik berikutan wujudnya gas semulajadi dalam sayur labu yang memberikan rasa gas seperti minuman berkarbonat.

``Produk ini berasaskan air dan tidak mengandungi susu. Justeru itu juga sesuai untuk pengguna yang tidak toleran kepada laktosa,’’ tambah beliau lagi.

Dalam pada itu, BioMalaysia dan Bioekonomi Asia Pasifik 2013 yang julung kali dianjurkan di luar Lembah Klang telah dirasmikan oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin.

Khaled dalam ucapannya berkata, penganjuran pameran dan persidangan antarabangsa seumpama itu di negeri Johor dapat meningkatkan lagi peranan Johor sebagai salah satu hub bioteknologi yang sedang berkembang di negara ini.

Katanya, Johor amat berdaya saing untuk menjadi rakan kolaborasi dalam industri berasaskan bioteknologi dan sehingga kini bersedia untuk terus mengukuhkan rangkaian dengan mana-mana rakan strategik yang berminat untuk membuat pelaburan di negeri tersebut.

``Banyak manfaat yang dapat diperoleh melalui program ini khususnya yang melibatkan penyelesaian isu-isu berkaitan keselamatan makanan, penjagaan kesihatan, penggunaan tenaga lestari menggunakan teknologi berasaskan bio,’’ katanya.

BioMalaysia dan Bioekonomi Asia Pasifik 2013 disertai oleh 160 pempamer yang terdiri dari delegasi dalam dan luar negara, meliputi institusi pengajian tinggi, syarikat-syarikat berasaskan bio, agensi kerajaan dan sebagainya.

Antara negara-negara yang turut mengambil bahagian dalam acara tahunan yang menghimpunkan penyelidik, pelabur,  dan sebagainya itu adalah China, Singapura, Jepun, Korea, Amerika Syarikat, Netherlands dan sebagainya. Teks dan foto: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 1930

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024