MENYINGKAP KEMAJUAN TEKNOLOGI KECERDASAN BUATAN (AI) DALAM BIDANG TERJEMAHAN MELALUI LENSA POSITIF
Karya: Dr. Boh Phaik Ean, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan, Universiti Sains Malaysia
30 Disember 2025
Sama ada disedari atau tidak, teknologi kecerdasan buatan (AI) kini menjadi komponen penting yang sukar dipisahkan daripada kehidupan seharian manusia.
Sejarah Awal Perkembangan AI
Pada realitinya, istilah “kecerdasan buatan” atau lebih umum dikenali sebagai Artificial Intelligence (AI) dalam bahasa Inggeris muncul sejak tahun 1950-an apabila ahli sains mula menerokai keupayaan komputer untuk menyelesaikan masalah secara autonomi.
Pada ketika itu, teknologi AI masih pada peringkat awal pembangunannya dan kurang mendapat perhatian meluas.
Sehingga tahun 2020, ketika dunia dilanda pandemik COVID-19, kemunculan GPT-3, iaitu sebuah model AI berskala besar dengan 175 bilion parameter telah mengejutkan dunia dengan keupayaannya menjana teks dan idea yang seolah-olah dihasilkan oleh manusia.
Perubahan Industri Akibat Teknologi AI
Rentetan daripada kemunculan teknologi AI yang semakin pesat membangun, pelbagai industri mengalami perubahan ketara dalam landskap operasi dan fungsinya, termasuk sektor perniagaan, pendidikan, perubatan, komunikasi, kejuruteraan, terjemahan, dan sebagainya.
Ekoran itu, orang ramai mula bimbang akan kerja dan peranan mereka mungkin akan diambil alih sepenuhnya oleh teknologi AI pada suatu hari nanti.
AI dalam Industri Terjemahan: Ancaman atau Peluang?
Dalam konteks industri terjemahan, ramai individu yang berkecimpung dalam bidang ini turut mengkhuatiri bahawa teknologi AI yang semakin canggih akan menggantikan tugas mereka sebagai penterjemah dan mendatangkan ancaman kepada kerjaya mereka.
Kita seharusnya melihat kemajuan teknologi AI dari perspektif yang positif.
Kualiti Terjemahan Mesin dan Cabaran
Susulan daripada pembangunan model bahasa besar (Large Language Model, LLM) yang membolehkan alat-alat AI untuk memahami konteks yang lebih luas dan menghasilkan teks yang lebih semula jadi, mutu terjemahan yang dihasilkan oleh alat-alat terjemahan mesin yang dipacu AI menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding masa lalu.
Bersangkut paut dengan perkara ini, kita perlu menyedari bahawa kualiti terjemahan yang dihasilkan oleh alat AI banyak bergantung pada data-data yang digunakan untuk melatih sesebuah model itu.
Dengan erti kata lain, mutu terjemahan mesin yang dihasilkan adalah berbeza-beza bagi pasangan bahasa yang berlainan.
Tidak semua terjemahan mesin adalah tepat, dan masih ada banyak lagi aspek yang memerlukan penambahbaikan.
Untuk bergerak seiring perkembangan teknologi arus perdana, kita perlu mengubah persepsi dan menghilangkan kerisauan bahawa tugas-tugas kita akan diambil alih sepenuhnya oleh alat-alat AI.
Manfaat AI dalam Bidang Terjemahan
Melalui pandangan yang positif terhadap penerapan AI dalam bidang terjemahan, kita dapat mengoptimumkan pelbagai manfaatnya, seperti membuka peluang pekerjaan baharu, mempercepat dan menambah baik proses penterjemahan, serta memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan.
Pertama, pembangunan teknologi AI dalam bidang terjemahan sesungguhnya membuka peluang pekerjaan dengan peranan baharu, misalnya penganotasi data, penyunting pascasuntingan terjemahan mesin, penilai data atau hasil terjemahan mesin, jurutera gesaan, dan sebagainya.
Dalam situasi ini, kita harus pandai menyesuaikan diri dan melengkapi diri dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran yang relevan bagi menempuhi cabaran dalam era AI.
Walaupun cara kita bekerja semakin berubah, memperlihatkan peralihan daripada pendekatan tradisional yang diamalkan sejak dahulu kala kepada pendekatan yang lebih moden dan berteknologi maju, tetapi matlamat di sebalik kerja-kerja menterjemah bagi meningkatkan pertukaran ilmu dan budaya perlu terus kita usahakan dan perjuangkan.
Kedua, pembangunan teknologi AI dalam bidang terjemahan membolehkan lebih banyak terjemahan dihasilkan dengan lebih pantas dan berkesan.
Jika dibandingkan dengan negara-negara maju seperti Jerman, Sepanyol, Perancis, dan Jepun, bilangan karya terjemahan yang dihasilkan di negara kita sama ada untuk tujuan pengimportan atau pengeksportan ilmu adalah jauh lebih sedikit bilangannya dan lebih perlahan atas faktor-faktor kekangan tertentu, seperti kekurangan tenaga penterjemah profesional, kekurangan dana, insentif dan sokongan institusi, serta tahap penggunaan teknologi yang masih rendah dan sebagainya.
Dengan kemajuan teknologi AI pada masa ini, kerja-kerja menterjemah boleh dilakukan dengan lebih pantas dan berkesan melalui pemanfaatan alat-alat AI dalam proses penterjemahan dan penerbitan.
Dalam pada itu, usaha penterjemahan karya-karya agung sama ada daripada bahasa Melayu ke dalam bahasa asing atau daripada bahasa asing ke dalam bahasa Melayu yang tidak sempat dilakukan sebelum ini boleh dirancakkan dan direalisasikan sekarang.
Begitu juga, teknologi AI generatif, iaitu cabang AI yang menfokuskan penciptaan kandungan baharu, seperti teks, imej, muzik atau video, sesungguhnya membolehkan terjemahan dihasilkan dengan lebih berkesan.
Sebagai contoh, ilustrasi yang menarik dan interaktif boleh dijana melalui teknologi AI generatif dan disepadukan dalam teks terjemahan, sekali gus menarik minat lebih ramai pembaca untuk menghayati karya-karya terjemahan serta memastikan fungsi terjemahan dapat dicapai dengan lebih efisien.
Oleh hal yang demikian, teknologi AI harus dilihat sebagai pembantu kita dalam menyiapkan kerja-kerja terjemahan dengan lebih cekap dan berkesan, dan bukannya mengambil alih sepenuhnya kerja-kerja penterjemah.
Ketiga, pembangunan teknologi AI dalam bidang terjemahan turut boleh membantu dalam memartabatkan bahasa Melayu yang merupakan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara kita.
Dalam konteks ini, kita boleh mengimport dan mengeksport ilmu melalui terjemahan dengan lebih pantas dan cekap.
Dalam hal ini, rakyat Malaysia wajar digalakkan untuk meningkatkan dan menyebarluaskan penggunaan bahasa Melayu, sama ada dalam percakapan atau penulisan.
Langkah ini secara tidak langsung akan menyemarakkan usaha kita dalam memartabatkan dan mengantarabangsakan bahasa Melayu di persada dunia.
Melihat AI Melalui Lensa Positif
Secara tuntasnya, kemajuan teknologi AI boleh menjadi pemangkin dalam menggerakkan dan memajukan industri terjemahan negara kita.
Yang penting sekali, kita perlu melihat kemajuan teknologi AI melalui lensa positif dan memanfaatkan kemajuan teknologi ini sebagai pembantu dalam meningkatkan produktiviti kerja kita secara bijak dan beretika, dan bukan menganggapnya sebagai ancaman kepada manusia.
Dengan pemikiran yang positif, kita pasti akan dapat menghadapi gelombang baharu yang dibawa oleh kemajuan teknologi AI, bukan sahaja dalam industri terjemahan, malah juga dalam pelbagai industri lain secara umumnya.
Suntingan: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 264