44 TAHUN MENANTI, PELAJAR USM HADIAHKAN EMAS JUDO MALAYSIA DI SUKAN SEA THAILAND 2025

USM PULAU PINANG, 30 Disember 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Amir Daniel Abdul Majeed, pelajar Tahun 3 dari pengkhususan Biologi Persekitaran, Pusat Pengajian Sains Kajihayat, atas kejayaan cemerlang meraih Pingat Emas Judo kategori 81kg di Sukan SEA Thailand 2025 baru-baru ini.
Kejayaan beliau bukan sahaja mengharumkan nama USM, malah mencatatkan sejarah baharu buat Malaysia apabila menamatkan penantian 44 tahun untuk emas dalam sukan Judo di pentas Sukan SEA.
Amir Daniel, 21, menewaskan atlet Filipina, Ferrer John Viron, di perlawanan akhir selepas menundukkan Hartato Diki dari Indonesia di separuh akhir.
Dalam kenyataannya, Amir Daniel mendedikasikan kemenangan bersejarah ini kepada arwah ayahnya, sambil menekankan bahawa latihan intensif bersama skuad kebangsaan di Mongolia menjadi faktor utama kejayaan.
Beliau sebelum ini pernah meraih gangsa dalam dua edisi SEA Games terdahulu, namun kali ini berjaya mencapai sasaran emas.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, bersama warga Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM, turut menzahirkan rasa bangga atas pencapaian ini.
“Kejayaan Amir Daniel adalah bukti bahawa pelajar USM mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Semoga pencapaian ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga kampus untuk terus cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum,” menurutnya.
Kejayaan ini sekali lagi menegaskan komitmen USM dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja berdaya saing di bilik kuliah, tetapi juga mampu mencipta sejarah di pentas sukan antarabangsa.
Teks: Tan Ewe Hoe/ Sumber: Facebook BHEPA USM dan https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2504978/
- Created on .
- Hits: 293