DUA PASUKAN USM UNGGUL DI KEJOHANAN KABADDI KALAM 5.0 2025
USM PULAU PINANG, 28 Disember 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi membuktikan keunggulan dalam arena sukan apabila dua pasukan wakilnya, Kejut Panthers A dan USM Falcons, mencatatkan pencapaian cemerlang di Kejohanan Kabaddi Kadaram 2025 peringkat Kebangsaan.
Pasukan Kejut Panthers A muncul juara selepas menewaskan pasukan UUM B dengan keputusan 30–11 dalam perlawanan akhir. Kejayaan ini melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM800, pingat, dan piala kemenangan.
Pasukan Kejut Panthers A dipimpin oleh Ruhan Lekchumanan (Alumni) dan L. Yughen Lingam, Tahun 2 dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, dengan Sharrvesh Sukumaran, Tahun 2 dari Pusat Pengajian Sains Komputer, sebagai pengurus pasukan.
Ruhan menyifatkan kemenangan itu sebagai hasil kerja keras dan semangat berpasukan: “Kami turun dengan satu matlamat iaitu untuk mengharumkan nama USM. Setiap pemain memberikan komitmen sepenuhnya, dan kemenangan ini adalah bukti bahawa disiplin serta kerjasama mampu membawa kita ke puncak.”
Sharrvesh turut menambah: “Kejayaan ini bukan sahaja milik pemain, tetapi juga seluruh warga USM yang sentiasa memberi sokongan. Kami berharap pencapaian ini menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus aktif dalam sukan.”
Sementara itu, pasukan USM Falcons (Wanita) turut mencatatkan kejayaan apabila menewaskan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan skor 17–8, sekali gus meraih tempat ketiga. Mereka membawa pulang RM400, pingat, dan piala kemenangan.
Pasukan USM Falcons (Wanita) diketuai Venishaa Mariappan, Tahun 3, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan dan Moonesha Badmanathan, Tahun 2, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan dengan sokongan Chandresh, Tahun 2, Pusat Pengajian Sains Komputer selaku Exco Sukan PKI USM.
Venishaa berkata: “Kami berbangga kerana dapat menempatkan diri di podium. Walaupun berdepan cabaran sengit, semangat juang dan sokongan rakan sepasukan membuatkan kami terus berusaha hingga ke akhir.”
Chandresh menekankan bahawa pencapaian ini adalah permulaan kepada sesuatu yang lebih besar: “Kabaddi wanita semakin mendapat perhatian. Saya percaya dengan latihan berterusan, pasukan Falcons mampu melangkah lebih jauh di kejohanan akan datang.”
Kejohanan yang berlangsung pada 20 Disember 2025 di Kompleks Sukan Universiti Utara Malaysia (UUM) itu dianjurkan oleh Persatuan Kebudayaan India USM dengan penyertaan 14 pasukan dari lapan IPTA seluruh negara.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Penasihat Program Kejohanan Kabaddi Kadaram 2025, Puspakaran, yang menekankan bahawa penganjuran sukan Kabaddi bukan sekadar pertandingan tetapi wadah untuk menghayati budaya yang diwarisi turun temurun, mencungkil bakat baharu, dan memupuk semangat perpaduan.
Beliau turut menegaskan bahawa melalui nilai kerjasama berpasukan, disiplin, dan keberanian, sukan Kabaddi kini semakin mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa serta terus mencerminkan identiti budaya yang mampu memberi inspirasi kepada generasi akan datang.
Selain mengangkat martabat sukan Kabaddi, kejohanan tersebut turut menekankan kepentingan gaya hidup sihat sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 3): Kesihatan yang Baik dan Kesejahteraan.
Kejayaan Kejut Panthers A dan USM Falcons menjadi bukti komitmen USM dalam melahirkan atlet yang bukan sahaja berdisiplin dan berdaya saing, malah menjunjung nilai perpaduan serta semangat kesukanan.
Sumber: Facebook BHEPA USM/ Teks & Foto: Moonesha Badmanathan, Unit Media USM Falcons/ Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA USM & Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 160