USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

STETOSKOP DI TANGAN, JIWA USAHAWAN DI HATI, LANGKAH KECIL DALAM DUNIA PERNIAGAAN KEMBANGKAN MINDA PELAJAR BIDANG PERUBATAN

USM-KLE IMP, BELGAUM, INDIA, 24 Disember 2025 – Membina kerjaya sebagai doktor sambil berjinak-jinak dalam dunia keusahawanan adalah satu langkah yang bijak dan progresif.

Ia menunjukkan kemahiran dunia perniagaan dan kesediaan untuk berbakti dalam bidang kesihatan melalui perkembangan platform yang lebih luas.

Program Hari Keusahawanan yang diadakan di Hostel Lawn, USM-KLE IMP merupakan satu inisiatif berimpak tinggi hasil kolaborasi pelajar Tahun 1 USM-KLE bersama Exco Perhubungan Awam dan Kebudayaan MedSoc.

Ia juga merupakan sebahagian daripada tugasan kursus WUS bagi pelajar Tahun 1, dengan skop yang lebih menyeluruh melalui penglibatan pelajar tempatan (India) sebagai komuniti sasaran.

Pendekatan ini bukan sahaja memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar, malah menggalakkan interaksi silang budaya serta penglibatan aktif warga kampus dalam suasana yang inklusif dan dinamik.

Disiplin dan kerjasama yang ditunjukkan oleh para pelajar telah memastikan program berjalan lancar dan teratur.

Penganjuran ini bukan sahaja berjaya dilaksanakan dengan baik, malah turut memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai asas keusahawanan melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman.

Selain itu, program berkenaan juga memperkukuh kemahiran insaniah pelajar, termasuk komunikasi berkesan, pengurusan operasi, dan kerja berpasukan, sekali gus melahirkan generasi yang lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Penyertaan pelajar luar sebagai pengunjung dan pembeli telah mewujudkan suasana pembelajaran yang realistik serta membolehkan pelajar memperoleh pengalaman sebenar dalam aspek perancangan perniagaan, pengurusan jualan, perkhidmatan pelanggan, dan tanggungjawab profesional.

Penganjuran program tersebut juga selari dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan: SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) melalui pembelajaran berasaskan pengalaman, dan SDG 8 (Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi) dengan memupuk minda dan kemahiran keusahawanan dalam kalangan pelajar.

Selain itu, program tersebut turut menepati agenda Students for Society (S4S) dengan menggalakkan penglibatan aktif pelajar dalam inisiatif yang memberi manfaat kepada komuniti kampus, sekali gus memupuk kesedaran sosial, semangat kebersamaan dan rasa tanggungjawab bersama.

Teks & Foto: EXCO Perhubungan Awam dan Kebudayaan, USM-KLE MedSoc/ Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA USM

  • Created on .
  • Hits: 176

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025