USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PBT USM RAIKAN SOLSTIS MUSIM SEJUK: MEMPERKASA TRADISI, MEMUPUK PERPADUAN DALAM KALANGAN WARGA USM

FB IMG 1767067088411

USM PULAU PINANG, 24 Disember 2025 – Solstis Musim Sejuk atau dikenali sebagai Perayaan/Pesta Dongzhi (冬至节), adalah salah satu daripada dua puluh empat istilah solar dalam kalendar tradisional Cina.

Solstis Musim Sejuk bukan sahaja menandakan siang hari paling pendek dan malam paling panjang dalam setahun, tetapi dalam falsafah Cina ia melambangkan transformasi ‘yin’ dan ‘yang’ serta permulaan kitaran baharu, walaupun Tahun Baru Cina tetap dianggap sebagai permulaan tahun rasmi.

FB IMG 1767067083317

Makna falsafah ini turut dizahirkan melalui Aktiviti Kebudayaan Solstis Musim Sejuk anjuran Persatuan Bahasa Tionghua (PBT) Universiti Sains Malaysia (USM) yang berlangsung di Dewan Utama Desasiswa (DUD) pada 21 Disember yang lalu.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Dr. Tan Chee Seng selaku Penasihat PBT dan dihadiri oleh Yang Dipertua PBT, Wong Wee Yuan bersama barisan sekretariat, sekali gus memperlihatkan kesinambungan antara tradisi kuno dan penghayatan budaya dalam konteks universiti moden.

FB IMG 1767067092545

Tanpa mengira latar belakang, negeri asal atau kewarganegaraan, program yang dianjurkan oleh Unit Kebudayaan bersama Badan Perkhidmatan Masyarakat, Unit Perbincangan dan Unit Perpustakaan Mandarin Persatuan Bahasa Tionghua itu bertujuan menyampaikan nilai dan budaya perayaan Solstis Musim Sejuk.

Dalam ucapannya, Tan berkata, “Solstis Musim Sejuk melambangkan perpaduan dan kesyukuran. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa yang telah bertungkus-lumus menjayakan majlis ini.”

FB IMG 1767067097324

Wong turut berkata, “Kebersamaan bukan sekadar satu bentuk, tetapi merupakan sumber kekuatan. Apabila kita duduk bersama, menikmati kemanisan tangyuan (bebola pulut manis) dan berkongsi cerita, kita sebenarnya sedang mengumpul keberanian dan semangat untuk terus melangkah ke hadapan.”

Sementara itu, Pengarah Program, Gan Chee Yeow, dalam ucapannya juga merakamkan penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa atas komitmen yang telah dicurahkan.

FB IMG 1767067104706

“Usaha dan dedikasi andalah yang menjayakan program ini serta menyentuh hati semua yang hadir,” ujarnya.

Aktiviti Solstis Musim Sejuk menampilkan program berwarna warni dengan persembahan nyanyian berbahasa Tionghua, tarian tradisional, seni kung fu dan diabolo oleh pelajar, yang merupakan manifestasi kecintaan terhadap kehidupan.

Turut diadakan ialah aktiviti membuat tangyuan (bebola pulut manis atau ‘rice ball’) beramai-ramai di perkarangan DUD sebagai simbol kesatuan keluarga dan kemakmuran.

“Semoga tradisi dan nilai yang dipupuk dalam perayaan ini akan terus tersemat dalam hati semua yang hadir dan terus memberi inspirasi kepada kita untuk memupuk perpaduan, menghargai kepelbagaian, dan memartabatkan tradisi budaya yang unik,” tambah Gan.

Teks: Unit Media dan Penerbitan BHEPA USM/Suntingan: Tan Ewe Hoe/Foto: Persatuan Bahasa Tionghua USM

  • Created on .
  • Hits: 131

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025