USM METERAI MoU BERSAMA MCPF PERKASA PENDIDIKAN PENCEGAHAN JENAYAH DALAM KALANGAN PELAJAR
USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 16 Disember 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik ke arah pendidikan pencegahan jenayah dan pembentukan modal insan berpengetahuan dalam kalangan pelajar sekolah, khususnya di negeri Kelantan.
Majlis penandatanganan MoU tersebut disempurnakan oleh Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak mewakili Naib Canselor USM dan Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) PPSK, Profesor Madya Dr. Ahmad Fahmi Lim Abdullah bagi pihak USM manakala MCPF pula diwakili Setiausaha Eksekutifnya, Deputi Superintendan Polis (DSP) Noorhamasiren Boonthnam Ekkasook dan Timbalan Pengerusi MCPF negeri Kelantan, Senior Asisten Komisioner (B) Dato’ Sheik Azhar Sheik Omar.
Dalam ucapannya, Wan Rosli menzahirkan penghargaan kepada MCPF atas kesediaan menjalin kerjasama dengan USM dalam menangani isu gejala sosial dan jenayah yang semakin membimbangkan dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah.
Beliau berkata, statistik dan laporan semasa menunjukkan peningkatan ketara kes jenayah seksual, penyalahgunaan dadah dan penipuan dalam talian yang melibatkan golongan remaja, termasuk penglibatan pelajar sekolah sebagai keldai akaun sindiket penipuan.
“Remaja berada pada fasa perkembangan yang mencabar dan memerlukan bimbingan berterusan daripada ibu bapa, pendidik, dan masyarakat.
“Oleh itu, kerjasama antara USM dan MCPF ini dilihat sebagai satu pendekatan bersepadu dan proaktif dalam memberi pendidikan awal mengenai jenayah, bahaya salah laku sosial serta pendedahan kepada aplikasi sains forensik,” katanya.
Menurut Wan Rosli, melalui kerjasama ini, pelbagai program telah dilaksanakan termasuk ‘Syarahan Bersiri Sains Forensik’ yang melibatkan kepakaran pensyarah Program Sains Forensik USM dalam pelbagai subdisiplin termasuk kimia forensik, biologi forensik, toksikologi, kriminalistik, dan forensik digital.
“Program ini memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar sekolah menengah di Kelantan berkaitan kaedah saintifik dalam penyiasatan dan pencegahan jenayah, sekali gus berpotensi mencungkil minat serta bakat awal dalam bidang sains forensik.
“Besar harapan kami agar inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran pelajar terhadap bahaya jenayah dan salah laku sosial, malah membantu membentuk pemikiran yang lebih matang, beretika, dan bertanggungjawab, selari dengan usaha pencegahan jenayah yang digerakkan oleh MCPF dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” ujarnya lagi.
Tambah Wan Rosli, kerjasama ini turut menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 16 (Keamanan, Keadilan, dan Institusi yang Kukuh) serta SDG 17 (Kerjasama demi Matlamat), yang menekankan kepentingan kerjasama pelbagai pihak dalam membina masyarakat yang aman, berpengetahuan, dan berdaya saing.
Sementara itu, bagi pihak MCPF, Noorhamasiren berkata, pihaknya menyambut baik jalinan kerjasama ini dan menyifatkannya sebagai langkah signifikan dalam memperluas pendekatan pencegahan jenayah berasaskan pendidikan dan sains, khususnya dalam mendepani cabaran jenayah moden dan ancaman siber yang semakin kompleks.
“MCPF amat yakin bahawa permeteraian MoU bersama USM ini akan menjadi pemangkin kepada inisitif pencegahan jenayah yang lebih berkesan.
“Besarlah harapan kami agar MoU ini bukanlah sekadar sebuah dokumen, tetapi menjadi asas kepada hubungan jangka panjang yang memberi impak nyata kepada pembangunan pelajar dan keselamatan masyarakat,” katanya.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Dekan (Siswazah, Kerjaya dan Antarabangsa), PPSK USM, Profesor Madya Dr. Rapeah Suppian; Pengerusi Program Sains Forensik, PPSK USM, Profesor Madya Dr. Edinur Hisham Atan; Penyelaras MoU antara USM dan MCPF, Dr. Noor Zuhartini Md Muslim; delegasi MCPF Malaysia dan MCPF negeri Kelantan serta pensyarah dan penyelidik yang terlibat dengan kerjasama ini.
Melalui pemeteraian MoU ini, USM dan MCPF komited untuk melaksanakan pelbagai program pendidikan, kesedaran, dan pemindahan ilmu secara berterusan demi kesejahteraan masyarakat serta pembentukan generasi muda yang berdaya tahan terhadap pengaruh jenayah.
Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman
- Created on .
- Hits: 49