USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

GLAUKOMA, MUSUH SENYAP SARAF OPTIK

FB IMG 1767160680122

USM, KUBANG KERIAN, KELANTAN, 14 Disember 2025 – Glaukoma merupakan penyakit mata yang boleh menyebabkan kerosakan saraf optik dan kehilangan deria penglihatan secara kekal sekiranya tidak dirawat.

Penyakit ini digelar sebagai pencuri penglihatan senyap kerana sering tidak menunjukkan gejala awal yang jelas.

Glaukoma terdiri daripada lima (5) jenis utama iaitu Glaukoma Kongenital (Congenital Glaucoma), Glaukoma Juvenile (Juvenile Open-Angle Glaucoma), Glaukoma Sudut Terbuka (Primary Open-Angle Glaucoma), Glaukoma Sudut Tertutup (Primary Angle-Closure Glaucoma), dan Glaukoma Sekunder (Secondary Glaucoma).

Menurut Pakar Oftalmologi, Jabatan Oftalmologi dan Sains Visual, Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Dr. Ain Nasyrah Ahmad Sukari, setiap mata mempunyai cecair dengan tekanan normal antara 10 hingga 20 ‘millimeter of mercury’ (mmHg).

“Jika sistem pengaliran terganggu, tekanan mata akan meningkat dan menekan saraf optik.

“Glaukoma sudut terbuka merosakkan saraf mata secara perlahan-lahan tanpa gejala awal dan pesakit biasanya tidak menyedari mereka menghidap glaukoma sehinggalah penyakit berada pada tahap serius,” jelas beliau ketika ditemu bual dalam Rancangan Sembang Sihat, Kelantan FM.

Tambah Ain Nasyrah, antara gejala yang boleh berlaku bagi penghidap glaukoma termasuk penglihatan kabur, medan penglihatan semakin mengecil, kesukaran memandu, dan kerap terlanggar objek.

“Glaukoma sudut tertutup pula berlaku secara akut apabila tekanan mata naik mendadak, menyebabkan gejala sakit mata, kabur, mata merah, sakit kepala, loya, dan muntah.

“Keadaan ini adalah kecemasan dan pesakit perlu segera mendapatkan rawatan doktor mata,” ujarnya.

Ain Nasyrah berkata, antara faktor risiko penghidap glaukoma pula termasuk mereka yang berusia lebih 40 tahun (lebih tinggi risiko bagi umur 70 tahun ke atas), mempunyai sejarah keluarga yang menghidap glaukoma, rabun jauh, penyakit kencing manis, dan penggunaan ubat steroid.

“Selain itu, penyakit ini juga boleh berlaku pada kanak-kanak sejak lahir dalam lingkungan umur satu (1) hingga 24 bulan iaitu dikenali sebagai glaukoma kongenita.

“Bagi mereka yang berumur tiga (3) hingga 40 tahun pula, glaukoma bagi peringkat ini dikenali sebagai glaukoma juvenil atau glaukoma remaja,” terangnya lagi.

Beliau turut menjelaskan bahawa terdapat beberapa gejala lain bagi penghidap glaukoma antaranya adalah bola mata yang lebih besar, kornea menjadi kelabu kebiruan (kornea membengkak), bayi tidak tahan dengan cahaya terang, dan mata berair yang berlebihan.

“Rawatan awal yang biasa digunakan untuk kes-kes seperti ini ialah menggunakan ubat titis mata untuk menurunkan tekanan mata.

"Sekiranya tidak terkawal, pesakit disarankan menjalani rawatan laser atau pembedahan. Walaupun rawatan tidak dapat memulihkan penglihatan yang telah hilang akibat kerosakan saraf optik, ia mampu menghenti atau melambatkan kehilangan penglihatan seterusnya,” ulasnya.

Ain Nasyrah turut menegaskan bahawa pengesanan dan rawatan awal adalah sangat penting kerana melakukan pencegahan awal lebih baik sebelum ianya terlambat.

Teks: R. Alia Fazni R. Azmi/ Reka Grafik: Ahmad Fansuri Salleh

  • Created on .
  • Hits: 80

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025