MALAM BAKAT KUNG FU TARIK MINAT PELAJAR BAHARU DENGAN KEPELBAGAIAN PERSEMBAHAN SENI MEMPERTAHANKAN DIRI
USM PULAU PINANG, 22 Disember 2025 – Kelab Kung Fu USM telah menganjurkan Malam Bakat Kung Fu sulung bagi Sidang Akademik 2025/2026 di Dewan Pembangunan Siswa 2, Kompleks Cahaya Siswa pada 17 Disember 2025 yang lalu.
Program tersebut dilaksanakan bagi memperkenalkan Kelab Kung Fu dan menarik minat pelajar baharu untuk menyertai kelab melalui persembahan seni mempertahankan diri serta kebudayaan oleh ahli kelab daripada pelbagai kaum.
Seiring dengan atribut H.E.B.A.T. (Balanced) melalui apresiasi seni, program tersebut menonjolkan pemikiran artistik dan menjadi platform untuk pelajar mempamerkan bakat dalam seni mempertahankan diri.
Hadir merasmikan program itu, Penasihat Kelab Kung Fu USM, Profesor Madya Dr. Ng Theam Foo, menekankan bahawa seni kung fu bukan sekadar seni mempertahankan diri, tetapi juga menanam nilai disiplin, kesabaran, ketekunan, dan kekuatan dalaman.
Beliau turut menegaskan, “Melalui aktiviti seperti Malam Bakat Kung Fu, kita bukan sahaja meraikan kepelbagaian budaya dan seni mempertahankan diri, tetapi juga membina komuniti yang bersatu, berdisiplin, dan berdaya saing. Inilah nilai sebenar yang ingin kita tanam dalam diri mahasiswa USM.”
Sementara itu, Ian Ooi selaku Pengarah Projek merangkap Yang Dipertua Kelab Kung Fu, bersama ahli-ahli kelab telah mengangkat tema ‘Martial Arts Ignite Youth’ sebagai simbol inspirasi untuk memupuk minat mahasiswa terhadap seni mempertahankan diri.
Kelab ini mempunyai lima bahagian iaitu wushu, shaolin, taiji, gendang, serta naga dan singa, yang menonjolkan kepelbagaian dan keunikan seni mempertahankan diri, sekaligus menjadi platform untuk ahli kelab mempamerkan bakat, kreativiti, dan dedikasi mereka.
Teks: Ng Zi Xin, Timbalan Setiausaha Kelab Kung Fu USM/Foto: Kelab Kung Fu USM/Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA, USM
- Created on .
- Hits: 40