USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM CEMERLANG DI KONVENSYEN KIK 2013: HASILKAN INOVASI BAHARU UNTUK PENJIMATAN KOS DI HOSPITAL

2

 

Empat pasukan yang dihantar mengambil bahagian dalam Konvensyen Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) peringkat kebangsaan pada awal Oktober lalu di Bukit Gambang Resort City, Kuantan mendapat kejayaan yang membanggakan Universiti Sains Malaysia (USM).

Kampus Kesihatan USM menghantar empat pasukan yang terdiri daripada pasukan EVO REHAB, LATERAL dan GO BEYOND ketiga-tiganya dari Hospital Universiti Sains Malaysia dan PROTECH dari Pusat Pengajian Sains Perubatan.

“Kesemua empat pasukan telah memenangi anugerah emas tiga bintang dengan Kumpulan LATERAL menjadi antara 10 kumpulan teratas yang akan mewakili Malaysia dalam International ICC Convention 2014,” kata Penyelaras Kualiti Kampus Kesihatan USM Dr. Mary Abraham.

Tambahnya lagi, acara yang dianjurkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia itu adalah satu cara paling berkesan dalam menggalakkan industri untuk meningkatkan daya saing termasuk dalam kalangan universiti.

Sebanyak 68 kumpulan termasuk 23 dari kalangan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mengambil bahagian dalam Konvensyen KIK dalam sektor awam di samping 50 kumpulan dalam sektor pembuatan, 30 kumpulan dalam sektor perkhidmatan dan 23 kumpulan dari Sektor Elektrik dan Elektronik.

Sementara itu Kumpulan GAMBAROU dari Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mendapat pengiktirafan Emas 3 Bintang di konvensyen dalam kategori Aktiviti Amalan Persekitaran Berkualiti (QE/5S).

Kumpulan ini juga mencatat sejarahnya yang tersendiri kerana merupakan kumpulan perintis yang dihantar oleh USM dan buat julung kalinya menyertai pertandingan seumpama ini dalam National Quality Environment (QE/5S) 2013 anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Fasilitator kumpulan ini ialah Puan Rogayah Ali dengan diketuai oleh Jamil Abdul Wahab yang berfokus kepada penjimatan bil utiliti dan penjimatan ruang.

Sebanyak 55 Kumpulan QE/5S dari seluruh Malaysia telah menyertai konvensyen tersebut.

Kumpulan LATERAL dari Hospital USM dengan fasilitatornya Hajah Saniah Saad dan diketuai oleh Hajah Norizan Jusoh mengemukakan projek bertajuk “Head Bun” dengan inisiatif inovasinya berupaciptaan alat yang lebih praktikal mengikut saiz pesakit usia untuk prosedur intubasi endotrakea yang merupakan prosedur paling penting dalam pembiusan pesakit di Dewan Bedah.

Prosedur intubasi endotrakea ini perlu dilakukan dalam waktu wajaran yang sepatutnya bagi mengelakkan sebarang komplikasi kekurangan bekalan oksigen untuk sampai ke otak sekali gus mungkin boleh membawa padah.

Prosedur ini amat memerlukan satu alat sokongan yang menyelesakan bagi membantu melancarkan dan mempercepatkan proses memasukkan tiub bantuan pernafasan kepada pesakit.

Tanda-tanda komplikasi dan kekukuhan produk juga perlu diambil kira.

Hospital USM dikatakan membelanjakan sebanyak RM13,718 setiap tahun untuk keperluan kos head ring sebelum projek. Kini, Hospital USM hanya membelanjakan sebanyak RM378 setahun. Untuk keseluruhan hospital di Malaysia pula, dianggarkan penjimatan sebanyak RM 373,520,000 setahun.

Produk baharu ini amat menjimatkan dengan anggaran peningkatan sebanyak 97.2% selepas projek.

Manakala projek yang dhasilkan oleh kumpulan GO BEYOND dari Hospital USM dengan fasilitatornya Hasnetty Zuria Mohamed Hatta yang diketuai oleh Nurul Wahida Zulkifli, berupaya untuk menjimatkan kos pembelian alat pemulihan tulang belakang berbanding dengan peralatan yang diimport.

Kos pembelian alat pemulihan sakit belakang yang diimport adalah RM732.55, manakala kos pembuatan dan bahan x-bac seunit adalah RM130. Pembelian alat pemulihan sakit belakang yang diimpot oleh Hospital untuk 1,504 orang pesakit ialah sebanyak RM1,101,755.20 setahun manakala pembelian x-bac yang dihasilkan melalui inovasi ini hanya RM195,520.00dengan penjimatan sebanyak RM906,235 setahun.

Projek yang bertajuk ‘Penggunaan Alat Sedia Ada untuk Mengurangkan Sakit Belakang adalah Tidak Sesuai’ melibatkan inovasi yang berkaitan dengan peralatan sedia ada yang tidak sesuai untuk mengurangkan kesakitan yang dialami kerana tidak menepati kesesuaian pesakit.

6

Masalah terjadi apabila pesakit menggunakan alat rawatan sedia ada (bantal) di unit semasa melakukan rawatan relaksasi dan juga semasa tidur di rumah (posisi yang tidak betul).

Mereka yang terlibat dalam rawatan pemulihan termasuk pesakit yang mengalami sakit belakang, pegawai perubatan, jurupulih perubatan, juruteknik perubatan dan penjaga pesakit.

Alat sedia ada mempunyai banyak kelemahan seperti kos yang tinggi, bekalan lambat diterima, saiz yang tidak tepat dan menyebabkan ia tidak digemari pengguna atau pesakit.

Didapati jumlah pesakit dipulihkan dalam 3 bulan adalah 423 orang pada tahun 2013 setelah penggunaan x-bac diperkenalkan sebagai ganti alat rawatan sedia ada.

Satu lagi inovasi baharu ialah melalui projek Peralatan Senaman Menguatkan Anggota Bawah Sedia Ada Membebankan EVO REHAB Hospital USM yang berjaya menjimatkan sebanyak kira-kira RM20,221 untuk setiap unit peralatan, mengurangkan kos selepas projek sebanyak 97.55%, menjimatkan masa bekalan alat sebanyak 50% dan berupaya untuk menyelesaikan masalah yang dibangkitkan di samping membawa perubahan dalam perawatan pesakit yang mengalami kelemahan anggota di bawah seperti kes patah, strok, kecederaan sukan dan arthritis.

Kumpulan ini dengan fasilitatornya Mohd Zamani Mamat dan diketuai oleh Azlina Majid mendapati bahawa penggunaan alat senaman bagi rawatan pemulihan pesakit arthritis, kecederaan sukan, strok dan kes patah adalah membebankan. Alatan sedia ada membebankan kerana kos yang tinggi, saiz yang terlalu besar berlaku ketidakselesaan malah sukar dikendalikan oleh pengguna dan pesakit.

Kumpulan ini akhirnya berjaya menghasilkan alat baharu yang mudah dikendalikan, mesra pengguna, alat senaman yang murah, ringan dan mudah alih, buatan tempatan dan boleh dibekalkan dengan lebih cepat.

Satu lagi inovasi yang dihasilkan ialah melalui Kumpulan PRO TECH dari Pusat Pengajian Sains Perubatan dengan fasilitatornya Azhar Ahmad dan diketuai oleh Muhamad Faris Irfan.

Kumpulan ini berusaha untuk Membangunkan Sistem Pencarian Parkir di Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia.

Sebagai sebuah kampus yang mempunyai bilangan staf yang ramai serta sering menjadi tumpuan orang awam, kepuasan hati staf dan pelanggan yang berkaitan dangan masalah parkir kenderaan perlu diberi perhatian.

Penyelesaian masalah parkir secara komprehensif mungkin memerlukan tempoh masa yang agak panjang untuk diselesaikan memandangkan ia melibatkan kos yang tinggi, contohnya kos untuk mewujudkan parkir bertingkat. Namun begitu, beberapa cara alternatif perlu difikirkan untuk mengurangkan masalah ini.

1

Kumpulan ini telah menemui satu kaedah ringkas dan tanpa melibatkan kos yang tinggi untuk membantu pihak pengurusan bagi mengurangkan masalah mencari parkir. Projek ini mula dilaksanakan pada 10 April 2012. Fokus utama projek ini ialah mengurangkan masalah kesukaran mencari parkir dengan memanfaatkan teknologi yang terkini bagi menghasilkan satu sistem pencarian parkir yang berkualiti dengan lebih cekap dan kos efektif.

Secara khusus, perlaksanaan projek ini menjurus ke arah memudahkan dan mempercepatkan proses pencarian parkir tanpa melibatkan perubahan ke atas peraturan-peraturan dan undang-undang yang sedia ada dan tanpa menyebabkan kenaikan kos perkhidmatan.

Pelaksanaan projek ini secara menyeluruh akan dapat mengurangkan masalah dan rungutan staf berkenaan dengan kesukaran untuk mencari parkir kenderaan mereka semasa hari bekerja.

Sistem yang diperkenalkan melalui projek ini juga dapat memupuk sikap saling bantu membantu dalam kalangan staf serta memudahkan proses kerja pihak Jabatan Keselamatan Kampus dari segi permasalahan yang berkaitan dengan pengurusan parkir. Tambahan kepada itu, kualiti perkhidmatan akan dapat dipertingkatkan ke suatu tahap yang lebih baik bukan sahaja dari segi penjimatan masa, malahan juga dari segi penjimatan kos bahanapi kenderaan, mengurangkan kadar pembebasan gas karbon dioksida, mengurangkan tekanan semasa mencari parkir dan aspek keselamatan kenderaan.

Menurut Dr. Mary Abraham, aktiviti KIK kini telah diinstitusikan sebagai sebahagian daripada amalan-amalan terbaik di Malaysia dan diiktiraf di peringkat antarabangsa dengan memberi tumpuan kepada menyelesaikan masalah dan juga memperbaiki sistem yang sedia ada di tempat kerja berfokus kepada kepuasan pelanggan.

Malaysia Productivity Corporation (MPC) adalah badan yang bertanggungjawab bagi menyelaras ICC dalam Sektor Awam dan Swasta di Malaysia. MPC menganjurkan konvensyen KIK di beberapa peringkat seperti MPC Mini Konvensyen, MPC Konvensyen KIK Wilayah, dan MPC KIK Konvensyen Kebangsaan. - Teks: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 2855

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024