USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM ANJUR COMPASSION SUMMIT 2025 – PERKUKUH PEMERKASAAN KOMUNITI DAN IMPAK LESTARI

IMG 20251222 WA0160

USM PULAU PINANG, 21 Disember 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini menganjurkan Sidang Kemuncak Community Programme for Sustainable Impact Mission (COMPASSION Summit) 2025 sebagai platform strategik untuk memperkukuh usaha pemerkasaan komuniti dan penciptaan impak lestari, selaras dengan aspirasi Universiti dalam membudayakan penglibatan masyarakat dalam inisiatif berimpak Universiti.

Sidang kemuncak yang julung kali diadakan itu berjaya menghimpunkan pelbagai pemegang taruh merangkumi ahli akademik, agensi kerajaan, rakan industri, institusi kewangan, badan bukan kerajaan serta pemimpin komuniti bagi berkongsi pandangan dan input ke arah pembangunan komuniti yang inklusif dan mampan.

IMG 20251222 WA0159

Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Dr. Azlan Amran berkata, penglibatan komuniti merupakan teras kepada misi universiti dalam memastikan ilmu yang dijana memberi manfaat nyata kepada masyarakat.

Menurut beliau, USM menekankan kepentingan penterjemahan ilmu kepada penyelesaian terhadap cabaran sebenar komuniti, sejajar dengan keperluan pembangunan nasional dan global.

“Pendekatan berasaskan ilmu dan kolaborasi strategik amat penting bagi memastikan setiap inisiatif penglibatan komuniti mampu menghasilkan impak yang berpanjangan,” katanya dalam ucapan alu-aluan sempena perasmian COMPASSION Summit 2025 yang berlangsung di AC Hotel, di sini pada 15 Disember 2025.

Sementara itu, Pengarah Jaringan Masyarakat USM, Profesor Madya Dr. Muhammad Izzuddin Syakir Ishak pula berkata, COMPASSION diperkenalkan sebagai inisiatif strategik yang memposisikan universiti sebagai ‘anchor institution’ kepada transformasi sosial.

Beliau menjelaskan bahawa pendekatan yang berstruktur, berakauntabiliti, dan berpaksikan impak menjadi asas dalam melahirkan kepimpinan masa hadapan, menangani isu masyarakat yang kompleks serta membina daya tahan komuniti secara inklusif dan mampan.

“Sidang kemuncak ini berperanan sebagai platform dialog terbuka, perkongsian pengetahuan, dan penciptaan solusi bersama yang berteraskan realiti komuniti,” katanya.

IMG 20251222 WA0161

Tambah beliau, sidang berkenaan turut menekankan kepentingan kerjasama pelbagai pihak dalam menangani isu kemiskinan, ketidaksamaan sosial, kerentanan iklim, akses pendidikan, dan pengukuhan daya tahan sosial.

Dalam pada itu, COMPASSION Summit 2025 turut menyaksikan pelancaran COMPASSION Playbook, iaitu panduan praktikal bagi mereka bentuk, melaksana dan menilai inisiatif penglibatan komuniti.

Dokumen berkenaan dibangunkan sebagai rujukan bersama USM dan rakan kolaborasi bagi memastikan hasil pemerkasaan komuniti yang mampan dan berpanjangan.

Beberapa rakan strategik USM turut berkongsi pandangan sepanjang sidang kemuncak itu, antaranya Ketua Penasihat Shariah Al-Rajhi Bank, Tuan Haji Mohammad Khairi Saat; Pengarah Sekretariat APPGM-SDG dan MySDG Academy, Zoel Ng; dan Ketua Pengurusan Operasi Yayasan Sime Darby, Muzdalifah Nasir.

Secara umumnya, rakan-rakan strategik USM itu berpandangan bahawa pemerkasaan komuniti memerlukan pendekatan berteraskan nilai, tujuan, dan kerjasama strategik merentas sektor.

MSS 9350 opq3012818607

Mereka turut menekankan peranan institusi kewangan, khususnya perbankan Islam, sebagai pemangkin pembangunan inklusif melalui pembiayaan berasaskan keadilan sosial, kesejahteraan masyarakat, dan kelestarian ekonomi.

Pendekatan pembiayaan berpaksikan nilai seperti Maqasid al-Shariah dilihat berupaya memperluas akses kewangan kepada golongan asnaf, isi rumah rentan, dan komuniti yang kurang mendapat perhatian.

Mereka juga antara lain turut menegaskan bahawa pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) perlu digerakkan dari peringkat akar umbi melalui pemetaan keperluan komuniti, pelaksanaan projek mikro berimpak, dan pembangunan kapasiti secara kolaboratif.

MSS 9324 opq3012816801

Selain itu, konsep Corporate Compassion diketengahkan sebagai pendekatan pelaburan strategik jangka panjang dalam pembangunan manusia dan kemakmuran bersama.

Pelaburan menyeluruh dalam bidang pendidikan, alam sekitar, komuniti dan kesihatan, sukan serta seni dan budaya dilihat mampu memperkasa golongan B40, orang kurang upaya (OKU), dan komuniti terpinggir secara lebih berkesan.

Pada sesi petang, forum bertajuk ‘Memperkukuh Kekentalan Komuniti: Wawasan, Cabaran dan Tindakan Strategik’ menghimpunkan pemimpin akademik, komuniti, institusi zakat, dan sektor filantropi bagi membincangkan pendekatan holistik dalam memperkasa daya tahan masyarakat.

Forum yang dipengerusikan Profesor Dr. Azlan Amran itu menampilkan panel seperti Dato’ Muhamad Khizri Abu Kassim, Muhammad Askee Ali, Mohamad Suraidi Saad, dan Lakshwin Muruga, dengan penekanan kepada sinergi antara universiti, kepimpinan akar umbi, institusi sosial, dan yayasan korporat.

MSS 9336 opq3012818613

Secara keseluruhan, penganjuran COMPASSION Summit 2025 mencerminkan komitmen berterusan USM sebagai Universiti APEX dalam menyokong agenda pembangunan lestari selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), di samping memperkukuh tanggungjawab sosial, ekologi, dan ekonomi universiti.

Program berkenaan turut memberi pengiktirafan kepada para pensyarah yang melaksanakan projek komuniti berimpak tinggi sepanjang tahun 2024.

Teks: Sharifah Darweena Syed Ahmad Amir Feisal, Pejabat Jaringan Masyarakat, BJIM USM

  • Created on .
  • Hits: 103

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025