PERTANDINGAN PERDEBATAN CINA 2026: WADAH STRATEGIK MEMUPUK PEMIKIRAN KRITIKAL DAN KEPIMPINAN MASA DEPAN

USM PULAU PINANG, 13 Disember 2025 – Pertandingan Perdebatan Cina Piala Dunia Peringkat Asia Tenggara 2026 anjuran bersama Dr. Campus, Campus Academia PLT dan Unit Debat Persatuan Bahasa Tionghua, Universiti Sains Malaysia (USM), yang berlangsung di Dewan Pembangunan Siswa 1, KOMCA USM menyaksikan sembilan pasukan terbaik berentap bagi merebut gelaran juara pada peringkat Asia Tenggara.
Program yang merupakan pertandingan perdebatan bertaraf antarabangsa itu telah diadakan secara dalam talian pada 8 dan 9 November 2025, melibatkan 14 pasukan dari universiti-universiti di Asia Tenggara.

Sembilan pasukan terbaik, iaitu Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM), Multimedia University (cawangan Cyberjaya dan Melaka), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Monash University Malaysia, Sunway University, Asia Pacific University (APU), dan Universiti Putra Malaysia (UPM), telah berjaya mara ke peringkat separuh akhir dan akhir yang berlangsung secara fizikal di USM pada 13 dan 14 Disember 2025.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh EXCO Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Pulau Pinang, YB Wong Hon Wai.
Turut hadir ialah Timbalan Pendaftar Kanan BHEPA USM, Shukeri A. Rahaman mewakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM; wakil penganjur bersama Dr. Campus, Campus Academia PLT, Ting Heng Nguan; Penasihat Persatuan Bahasa Tionghua USM, Dr. Tan Chee Seng; Yang Di-Pertua Persatuan Bahasa Tionghua USM, Wong Wee Yuan; dan Timbalan Pengarah Projek Pertandingan Perdebatan Cina Piala Dunia Peringkat Asia Tenggara 2026, Lim Qian Hui.

Dalam ucapannya, Wong menyifatkan debat bukan sekadar sebuah pertandingan, malah merupakan wadah yang menggerakkan pemikiran, mempertemukan pelbagai pandangan, dan mengalirkan perkongsian ilmu.
Menurut beliau, dalam era perubahan pesat, negara memerlukan golongan muda yang berfikiran kritis, berani bertanya, serta cekap menganalisis isu secara matang dan berfakta.

Sementara itu, Shukeri, dalam ucapannya mewakili pihak tuan rumah, menegaskan bahawa USM sentiasa berpegang teguh kepada misinya dalam memperkasa ilmu, memperkukuh pemikiran, dan membentuk generasi pelajar yang holistik.
“Keupayaan berkomunikasi dengan berkesan, berfikiran terbuka, serta berhujah secara teratur merupakan antara elemen penting yang perlu diterapkan dalam pembangunan sahsiah mahasiswa,” katanya.

Menurut Lim selaku Timbalan Pengarah Projek, pertandingan ini bertujuan menghimpunkan bakat-bakat muda yang berani bersuara, berfikiran matang, dan terbuka terhadap kepelbagaian pandangan.
Beliau turut yakin bahawa perspektif unik yang dibawa oleh setiap pasukan akan menjadi sumber inspirasi dan menjadikan penganjuran pertandingan pada tahun ini lebih bermakna dan berimpak tinggi.
Penyertaan pelajar, khususnya dari USM, jelas membuktikan bahawa pertandingan ini berperanan sebagai platform unggul dalam membentuk mahasiswa yang berfikiran kritis, berdisiplin, dan berintegriti tinggi.

Secara tidak langsung, ia turut menyumbang kepada pembentukan pemimpin masa depan yang berwibawa dan bertanggungjawab.
Teks & Foto: Unit Media dan Penerbitan BHEPA USM
- Created on .
- Hits: 87