USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TANGANI ISU TIKUS DI HOSPITAL SECARA BERSEPADU

01

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 12 Oktober 2013 - Universiti Sains Malaysia (USM) sedang dan akan terus berusaha menggembleng semua pihak dan kepakaran yang ada untuk menangani isu tikus di Hospital USM di sini. Hal ini adalah kerana masalah populasi tikus tidak hanya melibatkan sesuatu kawasan, tetapi juga persekitaran yang ada yang perlu ditangani bersama.

Bercakap dalam sidang media selepas perjumpaan dengan pengurusan tertinggi Hospital USM, Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Tan Sri Dr. Zulkefli A. Hassan memaklumkan, pihaknya akan melaksanakan segera usaha tersebut dengan melibatkan bukan sahaja mereka dari dalam universiti, tetapi juga pihak berkuasa tempatan, pihak berkuasa perubatan, Jabatan Kesihatan serta semua pihak lain untuk bersama-sama menangani isu ini apatah lagi dengan perkembangan pesat Hospital USM dan kawasan sekitarnya yang menyebabkan isu penjagaan kesihatan persekitaran timbul apatah lagi dengan banyaknya premis perniagaan termasuk pasar malam yang menjadi tumpuan penduduk setempat.

02

“Kita perlu menerima hakikat bahawa tikus sememangnya menjadi ancaman, namun percaya ia boleh ditangani dengan sebaik mungkin secara bersepadu dan berterusan, termasuklah memastikan satu usaha komprehensif yang melibatkan pihak swasta dilakukan untuk tujuan tersebut khususnya di Hospital USM dan Kampus Kesihatan termasuk melalui amalan gotong royong dalam kalangan warga Hospital dan Kampus Kesihatan serta sesiapa sahaja yang ingin membantu secara sukarela pada hari Sabtu setiap minggu mulai hari ini,” kata Zulkefli.

Terdahulu, Zulkefli melancarkan program gotong royong Hospital USM sebelum diberikan taklimat dan lawatan di sekitar kampus tentang isu tikus yang menjadi berita muka hadapan sebuah akhbar berbahasa Inggeris Selasa lalu.

03

Ditanya apakah tindakan yang diambil setakat ini dalam menangani isu tikus di wad hospital, beliau menjelaskan bahawa pihak pengurusan hospital dan universiti telah melakukan tindakan menyekat laluan tikus termasuk ruang penghawa dingin, longkang dan sebagainya bagi memastikan tiada ruang yang dapat digunakan oleh tikus untuk bergerak bebas di dalam bangunan hospital serta langkah-langkah kawalan lain tanpa perlu menutup wad yang terlibat.

Turut dilakukan oleh Universiti ialah mengarahkan premis menjual makanan yang didapati tidak bersih atau menjual makanan secara berleluasa tanpa pengurusan sisa yang betul ditutup untuk sementara bagi tujuan menangani isu ini sejak beberapa hari lalu.

“Kita juga sedar bahawa di wad kanak-kanak misalnya, para penjaga dan pelawat membawa masuk makanan dan tidak menguruskan sisa makanan dengan baik menyebabkan ia menjadi punca pembiakan tikus dan kerana itu, pihak universiti akan lebh tegas dalam melaksanakan peraturan yang ada di samping berbincang dengan ibu bapa dan pelawat sebagai satu daripada proses pendidikan yang dilakukan serta merta,” tambahnya lagi.

Turut sama dalam perjumpaan tersebut ialah Pemangku Naib Canselor Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Pengarah Kampus Kesihatan Profesor Dato’ Dr. Mafauzy Mohamad, Pengarah Hospital Dato’ Dr. Zaidun Kamari, Norina Jamaludin, Pengarah Bahagian Governan IPTA Kementerian Pendidikan serta dua orang pakar dalam bidang kawalan populasi haiwan dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM Profesor Madya Dr. Shahrul Anuar Mohd. Sah dan Dr. Hamdan Ahmad.

Tambah Zulkefli lagi, di samping itu USM juga akan menubuhkan segera Unit Kesihatan Persekitaran untuk menangani isu ini secara lebih berkesan di samping melaksanakan proses pendidikan dalam penjagaan kebersihan secara lebih meluas serta memastikan pengurusan sisa makanan diuruskan dengan sebaik mungkin mengikut prosedur yang ada termasuk yang melibatkan staf hospital dan universiti yang bertugas mahu pun pelawat yang mengunjungi pesakit.

“Dijangkakan sebanyak RM100,000 setahun akan dibelanjakan untuk tujuan pengawalan serangga dan haiwan perosak ini secara berkala dan berterusan serta memantau keberkesanannya melalui laporan kepada Lembaga Gabenor Universiti dalam setiap mesyuarat yang diadakan setiap dua bulan sekali,” jelas Zulkefli lagi.

Jelas beliau, USM bersedia untuk menyediakan laporan kepada pihak berkuasa termasuk kabinet jika perlu dalam menjelaskan isu ini agar lebih jelas difahami dalam menangani isu ini secara menyeluruh.

Sementara itu, pakar kawalan populasi haiwan yang telah lebih 30 tahun terlibat dalam mengkaji masalah tikus ini, Profesor Madya Dr. Shahrul Anuar Mohd. Sah berpendapat, usaha mengawal dan mengatasi masalah tikus ini memerlukan fokus kepada empat usaha yang utama iaitu melakukan pemeriksaan berkala terhadap kewujudan tikus, memastikan kebersihan terjaga, mengawal agar tikus yang ada di kawasan tertentu tidak keluar ke kawasan lain dan sebaliknya yang dari luar pula tidak memasuki kawasan yang ada dan mengawal populasi tikus dengan perangkap dan kawalan agar laluannya sentiasa disekat.

Tambah Shahrul Anuar lagi, pembangunan pesat di hospital mahu pun sekitarnya dengan premis perniagaan dan penjualan makanan yang kemungkinannya tidak diuruskan sisanya dengan baik akan menjadi punca pembiakan kepada haiwan ini.

“Kita perlu sedar bahawa tikus sama seperti kebanyakan haiwan lain berkembang biak kerana tiga faktor utama iaitu mempunyau bahan makanan, tempat tinggal dan pasangan untuk pembiakan yang menyebabkan pengurusannya agak sukar dibuat jika tidak dilakukan secara bersepadu dan melibatkan semua pihak untuk menjaga persekitaran yang ada,” tambahnya lagi.

Pihak Hospital USM juga mempunyai Skuad Cakna sejak 2008 yang menggembleng pelbagai kumpulan staf untuk melakukan rondaan dan mendengar aduan terhadap pelbagai masalah yang timbul termasuk dalam hal yang berkaitan pengurusan haiwan seperti tikus di samping menangani segera apa jua aduan yang berkaitan dengan kewujudan tikus dengan memasang perangkap yang berjaya menangkapnya dan dihapuskan dengan secepat mungkin dari persekitaran kampus. - Teks dan Foto: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 2091

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024