GSB@USM PERKASA MOBILITI ANTARABANGSA BERSAMA SSRU BAGI MEMPERKUKUH PEMBELAJARAN GLOBAL
USM PULAU PINANG, 19 Disember 2025 – Seramai 10 pelajar pascasiswazah Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (GSB@USM) telah menyertai Program Mobiliti Antarabangsa GSB–SSRU 2025 yang berlangsung dari 24 hingga 30 November 2025 di Suan Sunandha Rajabhat University (SSRU), Thailand.

Program tersebut dikendalikan di bawah Geran Mobiliti USM dengan Dr. Chin Phaik Nie sebagai Ketua Projek, manakala delegasi pelajar telah diiringi oleh Dr. Karpal Singh A/L Dara Singh dan Dr. Kavigtha Mohan Kumar.

Pelaksanaan program turut mendapat sokongan penuh Dekan, Profesor Madya Dr. Fathyah Hashim, serta pengurusan GSB@aUSM.

Program tersebut merangkumi sesi kuliah, aktiviti budaya, serta lawatan komuniti dan industri yang bukan sahaja memberikan pendedahan langsung kepada aspek kelestarian, inovasi, dan kefahaman lintas budaya, tetapi juga membantu peserta memahami secara mendalam bagaimana prinsip-prinsip ini diaplikasikan dalam konteks dunia sebenar.

Melalui gabungan pengalaman akademik dan interaksi bersama komuniti setempat, para peserta dapat menilai kepentingan amalan lestari, menghayati warisan dan nilai budaya negara tuan rumah, serta melihat sendiri pendekatan inovatif yang digunakan dalam sektor industri bagi menangani cabaran ekonomi dan sosial masa kini.
Antara lawatan utama ialah lawatan ke Sufficiency Economy Learning Centre yang mempamerkan amalan pertanian lestari berskala kecil, serta lawatan ke Ichitan Green Factory yang menampilkan operasi pengilangan hijau dan teknologi lestari.

Pelajar turut berpeluang menyertai sesi ilmiah berkaitan bahasa, seni budaya, perubatan tradisional, dan landskap perniagaan Thailand.
Aktiviti seperti lawatan ke ‘Bang Pa-In Palace’ dan ‘Ayutthaya’ telah memperkukuh pemahaman mereka terhadap sejarah serta warisan budaya negara tersebut.
Menurut peserta, program ini membuka perspektif baharu terhadap kelestarian, komuniti, dan inovasi, serta mengukuhkan hubungan akademik antara GSB@USM dan SSRU.
Pengalaman ini juga membantu membina kemahiran komunikasi, kepimpinan, adaptasi, dan kepekaan budaya dalam kalangan pelajar.
Program mobiliti ini menjadi platform penting dalam usaha GSB@USM melahirkan graduan yang berfikiran global, professional, dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi pengantarabangsaan universiti.
Teks: Dr. Chin Phaik Nie, GSB@USM/ Foto: Dr. Karpal Singh A/L Dara Singh, Dr. Kavigtha Mohan Kumar dan peserta program, GSB@USM
- Created on .
- Hits: 156