PROF. DATO’ DR. SIVAMURUGAN DILANTIK AHLI MAJLIS BAHASA NEGARA

USM PULAU PINANG, 20 Disember 2025 – Ahli akademik Universiti Sains Malaysia (USM) merangkap ikon patriotik negara, Profesor Dato’ Dr. Sivamurugan a/l Pandian dilantik sebagai Ahli Majlis Bahasa Negara (MBN) berkuat kuasa serta-merta, menurut kenyataan rasmi Majlis Bahasa Negara.
Pelantikan tersebut dibuat berdasarkan kepakaran, sumbangan ilmiah serta komitmen berterusan beliau dalam memajukan bahasa, kesusasteraan, dan kebudayaan Melayu di peringkat nasional.
Pengerusi Majlis Bahasa Negara, Senator Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan berkata, MBN yakin pengalaman dan pandangan beliau akan menyumbang secara signifikan dalam memperkukuh hala tuju strategik serta pelaksanaan agenda kebahasaan negara.
“MBN memikul tanggungjawab besar dalam memperteguh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dan bahasa negara.
"Kehadiran tokoh akademik berwibawa seperti beliau diharap dapat memperkaya perbincangan serta memperkasakan dasar dan inisiatif kebahasaan,” katanya.
Menurut Awang Sariyan, MBN turut menghargai kesediaan Sivamurugan menyumbang pemikiran dan kepakaran demi memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dan peradaban negara.
Pelantikan berkenaan juga dilihat sebagai langkah memperluas penglibatan tokoh akademik dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu selaras dengan aspirasi nasional, berteraskan semangat “Bahasa Jiwa Bangsa.”
Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Koleksi MPRC
- Created on .
- Hits: 182