ANUGERAH HARAPAN PROFESION TEKNIKAL NEGARA 2025: AKADEMIK USM DIIKTIRAF
USM, PULAU PINANG, 18 Disember 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus mencatat pencapaian membanggakan di peringkat kebangsaan apabila Profesor Madya Dr. Muhammad Firdaus Akbar Jalaludin Khan terpilih sebagai penerima Anugerah Harapan Profesion Teknikal Negara 2025 bagi kategori Sektor Awam, sekali gus mengukuhkan peranan universiti dalam memacu kecemerlangan teknikal dan inovasi negara.

Pengiktirafan berprestij tersebut diberikan atas sumbangan signifikan beliau dalam bidang kejuruteraan, inovasi teknologi dan pemindahan ilmu yang memberi impak nyata kepada industri, masyarakat serta pembangunan negara.
Pencapaian ini menyusul kejayaan USM meraih Anugerah Akademik Negara (AAN) bagi kategori Inovasi dan Pengkomersialan Produk serta Malaysia Scopus Research Star Award (MRSA) bagi kategori Inovasi Penyelidikan pada tahun yang sama, sekali gus mencerminkan kesinambungan kecemerlangan universiti dalam ekosistem penyelidikan dan inovasi.

Anugerah Harapan Profesion Teknikal Negara 2025 diterima semasa sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2025 yang berlangsung pada 10 hingga 11 Disember 2025 di Persada Johor International Convention Centre, Johor Bahru, yang menghimpunkan warga profesional teknikal seluruh negara.
HPTN 2025 yang mengangkat tema “Mengorak Inovasi Masa Depan Demi Kemanusiaan” bertujuan menghargai sumbangan profesional teknikal, memupuk minat generasi muda terhadap kerjaya teknikal serta mengetengahkan inovasi dalam bidang teknologi, digital dan pembangunan masa hadapan, selari dengan agenda pembangunan negara.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya, bersama Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, sebagai simbol pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan warga teknikal sektor awam.
Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen berterusan USM dalam melahirkan sarjana dan profesional teknikal yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah berperanan sebagai pemacu inovasi, pemindahan ilmu dan pembangunan negara secara mampan.
Teks: Profesor Madya Dr. Muhammad Firdaus Akbar Jalaludin Khan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik/Suntingan: Shafinaz Md Ismail
- Created on .
- Hits: 212