KARNIVAL HARI KOKURIKULUM USM 2025 TONJOL KEPELBAGAIAN SENI, BUDAYA DAN SUKAN MAHASISWA
USM, PULAU PINANG, 18 Disember 2025 – Karnival Hari Kokurikulum Universiti Sains Malaysia (USM) 2025 anjuran Pusat Rancangan Kokurikulum USM melabuhkan tirai dengan jayanya apabila berjaya menghimpunkan lebih 2,000 mahasiswa bagi menyaksikan kepelbagaian bakat dalam bidang seni, budaya dan sukan.
Karnival yang berlangsung dari jam 8.00 pagi, bermula dengan Karnival Futsal Kokurikulum di Kompleks Sukan Azman Hashim, USM, melibatkan penyertaan 23 pasukan sekali gus menyemarakkan semangat kesukanan dan kerja berpasukan dalam kalangan mahasiswa.


Selain itu, pameran kursus kokurikulum yang melibatkan bidang badan beruniform, khidmat komuniti, sukan dan kebudayaan turut diadakan pada sebelah siang bagi memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai kepelbagaian kursus kokurikulum serta peranannya dalam pembangunan sahsiah, kepimpinan dan kemahiran insaniah pelajar.


Majlis penutup Karnival Hari Kokurikulum USM 2025 telah berlangsung pada hari yang sama di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), USM, dan diserikan dengan persembahan nyanyian, tarian kebudayaan serta seni mempertahankan diri oleh mahasiswa daripada pelbagai latar belakang kaum dan etnik.


Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Dr. Azlan Amran, berkata bahawa universiti sentiasa komited menyokong penganjuran program yang memberi manfaat menyeluruh kepada mahasiswa, khususnya dalam menggalakkan penglibatan aktif dalam aktiviti kebudayaan dan kesukanan.


Menurut beliau, karnival tersebut bukan sahaja menjadi wadah meraikan kepelbagaian minat dan bakat pelajar, malah mencerminkan komitmen berterusan USM dalam menyediakan ruang pembelajaran holistik di luar bilik kuliah.
“Penganjuran karnival ini berfungsi sebagai platform pembangunan diri mahasiswa yang menyumbang kepada pembentukan nilai kepimpinan, keyakinan diri, kemahiran komunikasi, disiplin serta semangat kerja berpasukan,” katanya ketika mewakili Naib Canselor USM merasmikan majlis penutup karnival tersebut.

Tambah beliau, Karnival Hari Kokurikulum USM merupakan manifestasi praktikal Agenda HEBAT USM yang menghubungkan visi pembangunan pelajar dengan pengalaman sebenar di lapangan bagi melahirkan graduan yang Holistic, Entrepreneurial, Balanced, Articulate dan Thinking.
Beliau turut menyeru mahasiswa USM agar terus melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kokurikulum sebagai elemen penting dalam memperkukuh pembentukan sahsiah dan jati diri graduan universiti.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, Pengarah Pusat Rancangan Kokurikulum USM, Profesor Madya Dr. Ir. Ts. Mohd Hazizan Mohd Hashim, serta barisan pegawai utama universiti.
Teks: Syuhada Omar/Edzuwyn Fathin Mahyuddin, Pusat Rancangan Kokurikulum USM/Foto: Unit Media dan Penerbitan BHEPA
- Created on .
- Hits: 552