USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERKASAKAN JATI DIRI MELALUI KEARIFAN TEMPATAN

101013-1

MERANG, TERENGGANU, 6 Oktober 2013 - Usaha bersungguh-sungguh dan berterusan dalam penyelidikan dan mempromosikan kearifan tempatan mampu untuk memperkasakan jati diri bangsa dan memartabatkannya ke pentas dunia.

Hal ini ditegaskan oleh Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato' Dr. Omar Osman ketika berucap merasmikan Persidangan Serantau Kearifan Tempatan kali ketiga yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

"Jika kita menghayati erti kearifan tempatan atau sesetengahnya memanggilnya Local Wisdom dengan merujuk kepada definisi yang berteraskan kepada ilmu dan kepakaran yang berasal daripada budaya tempatan, berkembang dari semasa ke semasa dan kemudiannya diserap masuk ke dalam masyarakat yang merupakan sejumlah ilmu yang disimpulkan daripada pengalaman sebenar yang dialami dalam waktu yang sangat panjang berakarkan budaya tempatan di Malaysia mahu pun nusantara apatah lagi dunia, maka kita sebenarnya kembali kepada jati diri dan ingin meletakkan khazanah dan kekayaan yang tersimpul dalam sesuatu masyarakat dengan memberikan pengiktirafan yang sewajarnya,” kata Omar.

101013-2

Tambahnya lagi, dalam tradisi dan kehidupan yang menjadikan kepercayaan agama sebagai teras utama walau pun sesetengahnya mungkin diwarisi seawal sebelum kedatangan Islam, namun sebahagian besarnya termasuk dalam kalangan mereka yang tinggal jauh di dalam hutan yang begitu akrab dengan kehidupan alam belantaranya, menggambarkan kekuatan ilmu yang dimiliki yang mungkin pula sukar dijelaskan dengan mudah dalam kerangka pemikiran moden hari ini.

101013-3

Itulah keistimewaan kearifan tempatan yang ada yang seharusnya dipelajari, disesuaikan dengan keadaan semasa dan masa hadapan atau mungkin pula sesetengahnya amat wajar dikembalikan dalam usaha untuk menjulang kelestarian dan kelangsungan hidup umat manusia pada masa hadapan, jelas Omar lagi.

“Sekaligus kita perlu usaha untuk melihatnya dalam konteks yang relevan dengan keperluan masa hadapan, sama ada dalam konteks seni dan budaya, perubatan, pemuliharaan alam sekitar, merekayasa untuk menghasilkan ilmu baharu, menjadikannya lebih kontemporari tanpa menghapuskan rohnya apatah lagi dalam usaha memperkukuh dan memperkasa kearifan yang ada untuk generasi yang akan datang,” kata Omar.

Persidangan Serantau Kearifan Tempatan menjadi medan untuk para penyelidik kita membentangkan hasil kajian mereka di samping para penyelidik dari Kumpulan Kearifan Tempatan USM sendiri, yang majoritinya juga adalah dari Kumpulan Penyelidikan LRGS, yang telah mendapat geran penyelidikan ini pada tahun 2012 dari KPT bernilai RM7.75 juta  di samping menghasilkan penerbitan dalam Siri Buku Kearifan Tempatan USM, yang diterbitkan oleh Penerbit USM.

Pada tahun 2012, hasil dari RCLK1 (2011), telah terbitkan satu Siri Buku Kearifan Tempatan sebanyak 5 Jilid.  Pada tahun 2013 pula hasil dari RCLK2 (2012), berjaya menghasilkan 8 jilid buku, yang dilancarkan sempena Persidangan kali ini.

Menurut Omar, “kita akan tingkatkan lagi kedudukan Kearifan Tempatan ini untuk menerokainya dengan lebih jauh lagi dan USM akan berbuat apa sahaja yang boleh untuk memastikan ia dapat dibawa ke peringkat seterusnya, termasuk dunia antarabangsa dengan menunjukkan tentang jati diri bangsa yang bukan difahami dalam konteks sekarang ini.”

“Saya fikir tugas berat kita ialah untuk memberikan kefahaman kepada khalayak besar kita tentang kejayaan akar budaya kita yang ada yang sepatutnya dibanggakan tatkala ramai yang melihatnya sebagai satu kekosongan dalam menjulang jati diri bangsa seolah-olah menjadi satu bangsa yang tiada kekuatan jati diri walau pun sebenarnya terdapat banyak sekali kearifan yang ditinggalkan tetapi semakin kurang diketengahkan,” kata Omar.

Naib Canselor menyeru agar usaha terus dibuat untuk menerokai kerjasama di peringkat antarabangsa dan dunia dengan lebih luas lagi sama ada dengan universiti luar negara mahu pun institusi dan agensi yang dapat merealisasikan hasrat murni ini.

“Apabila kita berusaha untuk membawanya ke pentas dunia, kita juga haruslah berupaya untuk menunjukkan kekuatan dan roh kearifan tempatan yang ada dalam bangsa kita tidak kira di mana daerah sempadannya,” kata Omar.

Sementara itu Pengerusi Kumpulan Kearifan Tempatan USM yang juga penasihat persidangan, Profesor Dr. Badarudin Mohamad berkata, pihaknya telah pun menyediakan “blue print” untuk melangkah lebih jauh dan melebarkan lagi kerjasama yang ada dengan universiti-universiti luar negara seperti di Indonesia dan beberapa buah negara lain.

“USM juga sedang membangunkan makmal warisan di tengah-tengah kawasan Warisan Dunia Georgetown untuk dilawati dan dijadikan rujukan oleh pelbagai pihak termasuk membangunkan Makmal Warisan Eko di Tasik Banding di samping berusaha untuk menubuhkan sebuah pusat penyelidikan khusus untuk memajukan lagi bidang Kearifan Tempatan dalam jangka panjang,” katanya lagi ketika berucap di majlis yang sama.

Tambahnya lagi, usaha juga akan terus dibuat untuk menggalakkan penterjemahan penyelidikan-penyelidikan yang dibuat dan membangunkan wacana ilmu di bilik-bilik kuliah selaras dengan hasrat untuk mencapai sasaran melakukan proses pemindahan ilmu daripada universiti kepada masyarakat melalui pelbagai kumpulan pada tahun 2014.

Seramai 150 orang peserta yang terdiri daripada ilmuwan, ahli akademik dan mereka yang berminat mendalami kearifan tempatan menghadiri persidangan ini.  Yang turut membentangkan ucap utama ialah  Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dato’ Dr. Awang Sariyan, melalui kertas kerjanya “Mengangkat Kearifan Tempatan Setempat dalam Agenda Globalisasi Barat Timur-Timur Barat” dan Prof. Dr. Ir. Rosdanelly Hasibuan MT dari Universiti Sumatera Utara (USU), Medan dengan kertas kerjanya “Teknologi Proses Berbasis Kearifan Tempatan dalam Memproduksi Makanan Tradisional.” Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Persidangan, Profesor Madya Dr. Saad Othman. - Teks dan Foto: Mohamad Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 4036

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024