USM PERKASA BAKAT STEM LESTARI MURID MRSM MELALUI MARASTEM-GREENTECH 2.0
USM, PULAU PINANG, 17 Disember 2025 – Program MARASTEM-GREENTECH 2.0 anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya dilabuhkan menerusi Majlis Perasmian Penutupan yang menandakan komitmen berterusan universiti dalam memperkasa pembangunan bakat STEM dan teknologi hijau di peringkat sekolah menengah.

Majlis penutup program telah disempurnakan oleh Dekan Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan USM, Profesor Madya Dr. Rahimi Che Aman, dan dihadiri barisan pengetua serta wakil pengurusan MRSM Transkrian, MRSM Balik Pulau dan MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi, bersama ahli akademik USM, juri, guru pembimbing serta para peserta.
Dalam ucapannya, Rahimi menegaskan bahawa penganjuran MARASTEM-GREENTECH 2.0 mencerminkan peranan USM sebagai Universiti APEX dalam memperluas pemindahan ilmu melalui kolaborasi strategik universiti-sekolah, khususnya bagi membina kesedaran dan bakat awal dalam bidang STEM dan teknologi hijau.
Program MARASTEM-GREENTECH 2.0 melibatkan penyertaan seramai 150 murid Tingkatan 3 daripada ketiga-tiga MRSM terlibat dengan objektif memupuk minat, kefahaman dan kesedaran awal terhadap STEM dan teknologi hijau sebagai bidang kritikal masa hadapan negara.
Menurut Penyelaras Program dan Pengarah Projek MARASTEM-GREENTECH 2.0, Profesor Madya Dr. Nor Asniza Ishak, pelaksanaan program ini dirangka secara berfasa melalui tiga siri penyampaian ilmu yang merangkumi pengenalan konsep STEM dan teknologi hijau, aplikasi dalam konteks dunia sebenar, serta pendedahan kepada hala tuju pendidikan dan kerjaya dalam bidang berkaitan.
Beliau menjelaskan bahawa Siri 1 memberi fokus kepada asas STEM dan teknologi hijau, Siri 2 melibatkan Jelajah Kampus Kejuruteraan USM dan pelaksanaan Modul JUMP-STEM bagi menyediakan pengalaman pembelajaran autentik, manakala Siri 3 menumpukan kepada kefahaman peluang pendidikan dan kerjaya STEM masa hadapan.
Program ini turut diperkaya menerusi pertandingan MARASTEM GREEN INNOVATORS 2025 yang mengetengahkan idea dan inovasi murid berteraskan teknologi hijau serta kelestarian alam sekitar melalui pendekatan pembelajaran berasaskan projek.

Pendekatan tersebut secara tidak langsung menggalakkan pemikiran kritis, kreativiti dan kesedaran terhadap tanggungjawab sosial serta alam sekitar dalam kalangan peserta selari dengan keperluan pembangunan mampan.
Dalam majlis yang sama, Nor Asniza merakamkan penghargaan kepada Pejabat Naib Canselor USM atas sokongan strategik dan berterusan yang menjayakan MARASTEM-GREENTECH 2.0 sebagai inisiatif pemerkasaan bakat STEM nasional selari dengan agenda Malaysia MADANI, Visi dan Misi USM serta Matlamat Pembangunan Mampan SDG 4 Pendidikan Berkualiti.
Majlis penutup turut diserikan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang MARASTEM GREEN INNOVATORS 2025 serta sesi bergambar sebagai simbol kejayaan program dan komitmen berterusan USM dalam memperluas impak pendidikan STEM kepada masyarakat.
Teks & Foto: Profesor Madya Dr. Nor Asniza Ishak, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan/Suntingan: Shafinaz Md Ismail
- Created on .
- Hits: 316