KARYA TERBITAN PENERBIT USM MENANG DUA KATEGORI ANUGERAH MAPIM-KPT KE-16
USM, PULAU PINANG, 17 Disember 2025 – Penerbit Universiti Sains Malaysia (USM) terus mengukuhkan reputasinya sebagai penerbit universiti terkemuka apabila berjaya meraih dua kategori anugerah dalam Majlis Anugerah Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM-KPT) Ke-16 yang berlangsung pada 9 Disember 2025 di Dewan Za’aba, Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya.
Anugerah MAPIM-KPT merupakan pengiktirafan tertinggi terhadap kecemerlangan institusi pengajian tinggi di Malaysia dalam bidang penerbitan ilmiah yang dianjurkan oleh Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Penganjuran anugerah ini mencerminkan komitmen berterusan MAPIM dan KPT dalam memperkukuh kedudukan serta meningkatkan daya saing penerbitan akademik tempatan di peringkat antarabangsa.

Antara pencapaian utama Penerbit USM ialah kejayaan buku terbitannya berjudul Menjawab Mitos Melayu Malas: Kajian Kes Penghijrahan Masyarakat Melayu ke Kerian, Perak, 1816–1947 karya Dr. Siti Noor Hafizah Mohamed Sharif yang dinobatkan sebagai Pemenang Utama Anugerah Buku Ilmiah Terbaik Sains Sosial dan Ilmu Kemanusiaan.


Pengiktirafan tersebut membuktikan keupayaan Penerbit USM dalam menerbitkan karya ilmiah berkualiti tinggi yang memenuhi piawaian akademik dan keperluan industri perbukuan khususnya dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan.
Siti Noor Hafizah merupakan Pensyarah Kanan di Bahagian Sejarah, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM yang memiliki kepakaran dalam bidang sejarah sosioekonomi Malaysia.
Penerbitan buku ini melibatkan pasukan editorial Penerbit USM yang terdiri daripada Nur Naimah Jaafar sebagai Editor Naskhah, Aida Izana Yaakub sebagai Pembaca Pruf, Norizan Mohammad Noor sebagai Atur Huruf dan Harifahmi Abdul Halim sebagai Pereka Kulit Buku.

Selain itu, Noriyanti Jahaya selaku Editor Naskhah buku Academic Writing in Engineering telah menerima Anugerah Editor Naskhah Terbaik – Kategori Sains dan Teknologi (Hadiah Penghargaan).
Pencapaian tersebut mencerminkan tahap kompetensi dan kepakaran staf Penerbit USM dalam bidang editorial yang diiktiraf di peringkat kebangsaan.
Mengulas kejayaan berkenaan, Pengarah Penerbit USM, Profesor Dr. Goh Sang Seong berkata bahawa pengiktirafan ini menyokong usaha menyemai budaya penulisan dan penerbitan yang dinamik serta progresif dalam kalangan komuniti akademik.
“Pada masa yang sama, kejayaan ini mengukuhkan peranan strategik penerbitan ilmiah sebagai tonggak kepada aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai pusat kecemerlangan pendidikan tinggi bertaraf global,” ujar beliau.
Teks: Mohd Zaidi Abdullah, Penerbit USM/Suntingan: Shafinaz Md Ismail
- Created on .
- Hits: 362