USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

11 KATEGORI DIMENANGI PENERBIT USM DI ANUGERAH BUKU NEGARA 2024–2025

Gambar buku Anugerah Buku Negara

USM, PULAU PINANG, 17 Disember 2025 – Penerbit Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi mencatat kecemerlangan di peringkat kebangsaan apabila berjaya meraih 11 pengiktirafan dalam Anugerah Buku Negara (ABN) 2024–2025, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai penerbit ilmiah berprestij negara.

Majlis penganugerahan tersebut telah berlangsung pada 3 Disember 2025 di Pentas Utama Pesta Buku Antarabangsa Selangor (PBAS) 2025 yang diadakan di Setia City Convention Centre, Shah Alam, Selangor.

Gambar Anugerah Buku Negara

Majlis berprestij ini telah disempurnakan oleh Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr. Anuwar Ali selaku Pengerusi Panel Juri Antarabangsa bersama Dr. Hasan Hamzah selaku Pengerusi Sekretariat Anugerah Buku Negara.

Anugerah Buku Negara yang dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) merupakan platform utama untuk memberikan pengiktirafan kepada warga industri perbukuan yang berperanan penting dalam penghasilan, penerbitan dan pengembangan karya ilmiah di Malaysia.

Penganjuran anugerah ini turut bertujuan meningkatkan mutu penerbitan judul baharu, di samping memupuk budaya penulisan dan pembacaan berkualiti dalam kalangan masyarakat.

Pada majlis tersebut, buku terbitan Penerbit USM telah menerima pengiktirafan dalam 11 kategori, seperti berikut:

  • Kategori Umum dan Khas: Buku Agama dan Kerohanian
    Ijtihad dan Aplikasi dalam Muamalah Kewangan Islam – Fatullah Asni

  • Kategori Umum dan Khas: Buku Sejarah dan Biografi
    Persejarahan Meniti Zaman: Sumber, Kaedah dan Interpretasi – Mahani Musa dan Muhamad Hasrul Zakariah (editor)

  • Kategori Pendidikan dan Akademik: Buku Terjemahan Terbaik
    Koleksi Konsep Falsafah, Pemikiran dan Budaya China Jilid 5 – Goh Sang Seong dan Chow Yean Fun (penterjemah)

  • Kategori Pendidikan dan Akademik: Buku Sains Sosial Terbaik
    Terapi Kognitif Tingkah Laku: Konsep dan Aplikasi – Nor Shafrin Ahmad dan Ahmad Amin Mohamad Sulaiman

  • Kategori Pendidikan dan Akademik: Buku Sains dan Teknologi
    Building Better with BIM: Case Studies Insight – Noorati Taib dan Farhana Mohd Razif (editor)

  • Kategori Pendidikan dan Akademik: Buku Islamik Terbaik
    Isu-isu Pindah Milik Harta Orang Islam di Malaysia – Jasni Sulong

  • Kategori Bahasa dan Penterjemahan: Buku Bahasa Inggeris atau Asing
    Language, Literature and Translation in Malaysia and Indonesia – Hasuria Che Omar, Wan Rose Eliza Abdul Rahman dan Rudi Hartono (editor)

  • Kategori Pendidikan dan Akademik: Buku Ilmiah Popular
    Archaeology of Bukit Tengkorak, Sabah – Stephen Chia

  • Kategori Pendidikan dan Akademik: Buku Islamik Terbaik
    Al-Taffarud dan Hubungannya dengan ‘Illah Menurut Sarjana Hadis – Mohd Aizul Yaakob dan Roshimah Shamsudin

  • Kategori Pendidikan dan Akademik: Buku Perubatan Terbaik
    Tissue Engineering and Regenerative Dentistry – Nurul Hafizah Mohd Nor, Zurairah Berahim, Azlina Ahmad dan Kannan Thirumulu Ponnuraj

  • Kategori Pendidikan dan Akademik: Buku Ilmiah
    Tun Saban Pengasas Hulu Perak: Aspek Persejarahan dan Kelestarian Warisan – Jelani Harun

Penerbit USM merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penulis, editor dan pihak terlibat atas pencapaian cemerlang ini yang mencerminkan kekuatan ekosistem penerbitan ilmiah universiti.

Penghargaan turut diberikan kepada Yayasan Pembangunan Buku Negara atas penganjuran Anugerah Buku Negara 2024–2025 yang berjaya dan bermakna, serta berharap kejayaan ini menjadi pemangkin kepada penghasilan karya ilmiah berkualiti tinggi pada masa hadapan.

Teks: Mohd Zaidi Abdullah, Penerbit USM/Suntingan: Shafinaz Md Ismail

  • Created on .
  • Hits: 265

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025