USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BUKU TERBITAN PENERBIT USM UNGGULI ANUGERAH AKADEMIK NEGARA KE-16

Buku Traumatic Childbirth

USM, PULAU PINANG, 16 Disember 2025 – Sebuah buku terbitan Penerbit Universiti Sains Malaysia (USM) bertajuk 'Traumatic Childbirth: Near Miss and Morbidities' hasil karya Profesor Datin Dr. Norhayati Mohd Noor telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Penerbitan Buku pada Anugerah Akademik Negara (AAN) Ke-16, sekali gus mengharumkan nama universiti di peringkat nasional.

Anugerah Akademik Negara merupakan wadah berprestij yang diwujudkan untuk mengiktiraf sumbangan cemerlang tokoh akademik tempatan dalam memperkaya disiplin ilmu serta mengangkat reputasi Malaysia di peringkat nasional dan antarabangsa.

Majlis Penganugerahan AAN Ke-16 telah berlangsung pada 24 Oktober 2025 di Subang Jaya dan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir.

Norhayati ialah pensyarah perubatan dalam bidang Kesihatan Awam di Kampus Kesihatan USM yang turut tersenarai dalam kelompok Top 2% Scientists in the World oleh Universiti Stanford melalui Elsevier Data Repository bagi tempoh tiga tahun berturut-turut dari 2022 hingga 2024.

Keunggulan karya tersebut turut diiktiraf apabila buku yang sama pernah dinobatkan sebagai Pemenang Utama Anugerah Buku Ilmiah Terbaik oleh Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia pada tahun 2022.

Pasukan editorial yang terlibat dalam penerbitan buku ini terdiri daripada Noor Sheela Suratman selaku Editor Naskhah, Noorashikin Sharom sebagai Pembaca Pruf, Sabrina Ahmad sebagai Atur Huruf dan Mohammad Ridhwan Jaapar sebagai Pereka Kulit Buku.

Mengulas penghasilan karya tersebut, Norhayati menjelaskan bahawa penulisan buku ini lahir daripada keprihatinan mendalam terhadap isu kesihatan ibu, khususnya berkaitan morbiditi serius semasa kehamilan dan kelahiran.

Menurut beliau, buku ini mengetengahkan kepentingan indikator maternal near miss sebagai penanda aras tambahan dalam menilai kualiti sistem penjagaan obstetrik di Malaysia.

Beliau turut menyifatkan kemenangan ini sebagai pengiktirafan bermakna terhadap usaha kolektif dalam memperkasa ilmu kesihatan awam serta merakamkan penghargaan kepada Penerbit USM atas sokongan profesional dan komitmen berterusan sepanjang proses penulisan dan penerbitan karya tersebut.

Teks & Foto: Mohd Zaidi Abdullah, Penerbit USM/Suntingan: Shafinaz Md Ismail

  • Created on .
  • Hits: 240

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025