USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MAJLIS PESONA JASA HBP 2025 PLATFORM PENGIKTIRAFAN WARGA KERJA USM

USM, PULAU PINANG, 12 Disember 2025 – Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (HBP), Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menganjurkan Majlis Pesona Jasa HBP 2025 buat julung kali di Hotel Eastin sebagai platform rasmi menghargai sumbangan dan komitmen warga kerja dalam menjayakan kecemerlangan institusi.

WhatsApp Image 2025 12 16 at 17.03.13 1

Majlis berprestij ini dianjurkan bagi mengiktiraf jasa dan pengorbanan warga kerja HBP yang telah menyumbang secara konsisten dalam bidang akademik, kepimpinan, pengurusan serta pembangunan institusi sepanjang tahun 2025.

Dekan HBP, Profesor Madya Sr Ts. Dr. Md Azree Othuman Mydin, dalam ucapan perasmian menegaskan bahawa penganjuran majlis ini mencerminkan keprihatinan pengurusan terhadap peranan penting warga kerja dalam membangunkan institusi secara menyeluruh.

WhatsApp Image 2025 12 16 at 17.03.13

“Pengiktirafan ini penting kerana ia menjadi pemangkin motivasi kepada warga kerja untuk terus melaksanakan amanah dengan cemerlang, berintegriti dan berdedikasi dalam menyokong visi serta hala tuju HBP,” ujar beliau.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua warga HBP atas dedikasi yang telah ditunjukkan sepanjang perjalanan visi dan kecemerlangan dalam mencapai matlamat bagi tahun 2025.

WhatsApp Image 2025 12 16 at 17.03.14

Menurut Md Azree, “Pengiktirafan ini bukan sahaja menjadi pengiktirafan kepada pencapaian individu, tetapi juga sebagai bukti komitmen kolektif seluruh warga kerja dalam mempertingkatkan reputasi dan kemajuan HBP."

Antara anugerah yang diberikan pada malam tersebut adalah Anugerah Didik Permata, Anugerah Warisan Lestari, Anugerah Tunas Harapan, Anugerah Seri Pesona, Anugerah Luhur Budi, Anugerah Sri Bakti, dan Anugerah Persaraan.

Setiap anugerah diberikan sebagai pengiktirafan kepada mereka yang telah memberi impak positif dalam pelbagai aspek, sama ada dalam bidang pendidikan, perancangan, pengurusan, mahupun khidmat bakti kepada masyarakat dan industri.

WhatsApp Image 2025 12 16 at 17.03.15

Majlis turut diserikan dengan kehadiran rakan industri dan profesional alam bina termasuk wakil daripada RISM Northern Branch, SA Lee Architect Planner, Pertubuhan Arkitek Malaysia Northern Chapter dan Kobay Development Sdn. Bhd. yang mencerminkan jaringan kerjasama strategik HBP dengan industri.

Penganjuran Majlis Pesona Jasa HBP 2025 menjadi simbol penghargaan terhadap nilai kemanusiaan, ketekunan dan semangat kerja berpasukan yang membentuk kejayaan institusi sepanjang tahun ini.

WhatsApp Image 2025 12 16 at 17.03.16

HBP berharap penganjuran majlis seumpama ini dapat diteruskan sebagai acara tahunan yang mengeratkan hubungan warga kerja serta rakan industri – sekali gus menyemai budaya penghargaan dan kecemerlangan berterusan di USM.

Teks & Foto: Siti Nazwa Abdul Rahman/Suntingan: Anis Ariniey Mohd Asri

  • Created on .
  • Hits: 1376

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025