USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

WUJUDKAN STESEN PENYELIDIKAN DI ANTARTIKA – TUANKU MIZAN

081013-1

PULAU PINANG,  8 Okt.2013  - Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah mencadangkan supaya usaha bagi membangunkan stesen penyelidikan Malaysia di Antartika dapat direalisasikan untuk manfaat kepada dunia penyelidikan di negara ini dan juga di peringkat global.

Baginda yang juga Penaung Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) bertitah, kewujudan stesen itu juga disifatkan sebagai langkah proaktif dalam memantapkan Program Penyelidikan Antartika Malaysia (MARP) sekaligus mengharumkan nama negara.

Titah baginda, Malaysia kini telah mencapai satu tahap yang mana telah ramai penyelidiknya berjaya menjejakkan kaki ke antartika, walaupun belum mempunyai stesen penyelidikan sendiri di benua tersebut.

"Sekiranya saintis tempatan ini mampu membuktikannya dalam keadaan sedemikian, ini membuat beta berfikir bahawa Malaysia boleh terus maju dalam pembangunan penyelidikan Antartika.

081013-2

"Kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan pihak kerajaan juga menyuntik semangat kepada pengkaji bagi menjalankan kajian saintifik di Antartika, selain membawa visi negara bagi berkongsi maklumat penting yang terdapat di  Antartika dengan dunia,’’ titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan persidangan Seminar Antarabangsa Antartika Malaysia kali ke-6 (MISA6) di Batu Ferringhi, di sini hari ini. Turut hadir ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr. Ewon Ebin dan Pemangku Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal.

081013-3

MISA adalah acara dwitahunan bermula 2002 di bawah naungan MARP, bertujuan mengumpulkan penyelidik dari negara-negara yang terlibat secara aktif dalam penyelidikan Antartika dan Artik untuk membentangkan hasil penyelidikan mereka.

Ia dianjurkan secara bersama oleh MARP, YPASM, Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan (NARC), USM dan Akademi Sains Malaysia.

Penganjuran MISA yang disertai para peserta dari negara-negara seperti United Kingdom, Jepun, Australia, New Zealand, Poland dan sebagainya itu telah mewujudkan peluang baru bagi penyelidik Malaysia untuk bekerjasama dan menyumbang secara berkesan ke arah penyelidikan di kawasan kutub. Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 3266

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024