MPP USM MANTAPKAN PENGURUSAN KEWANGAN MELALUI PENYERTAAN BENGKEL PEMANTAPAN UNIVERSITI AWAM
KUALA LUMPUR, 13 Disember 2025 – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia (USM) menghantar empat wakil kepimpinan tertinggi untuk menyertai Bengkel Pemantapan Pengurusan Kewangan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Awam yang berlangsung di Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur, sebagai usaha memperkukuh tadbir urus kewangan organisasi pelajar di peringkat universiti.

Bengkel anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar Jabatan Pendidikan Tinggi (BHEP JPT) dengan kerjasama Yayasan Perkasa Siswa (YPS) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu bertujuan meningkatkan kefahaman serta kemahiran kepimpinan pelajar dalam aspek pengurusan kewangan, tadbir urus organisasi dan pengurusan dokumentasi MPP.
Sepanjang tempoh penganjuran selama tiga hari, para peserta didedahkan kepada pengisian merangkumi tatacara dan peraturan kewangan universiti, pengurusan dana dan sumbangan berakauntabiliti, simulasi pengurusan kewangan MPP, literasi kewangan serta pengurusan geran aktiviti pelajar.

Bengkel tersebut turut menampilkan sesi perkongsian bersama agensi berkepentingan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), institusi kewangan serta wakil kepimpinan Kementerian Pendidikan Tinggi yang menekankan kepentingan integriti dan ketelusan dalam pengurusan kewangan organisasi pelajar.

Penyertaan MPP USM dalam bengkel ini mencerminkan komitmen berterusan kepimpinan mahasiswa universiti untuk memastikan pengurusan kewangan organisasi pelajar dilaksanakan secara telus, berintegriti dan berkesan demi kepentingan komuniti mahasiswa.

Ilmu dan pengalaman yang diperoleh melalui bengkel ini diharapkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh barisan kepimpinan MPP USM bagi memperkemas tadbir urus organisasi serta meningkatkan keberkesanan pelaksanaan program dan inisiatif kebajikan pelajar sepanjang Sidang Akademik 2025/2026.
Turut hadir ialah Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia (USM), Azfar Al Hafiz Azman; Naib Yang Dipertua MPP USM, Muhammad Afiq Hasraf Hazly; Bendahari Kehormat MPP USM, Alisha Sofea Muhd Hafeez; Bendahari Cawangan Kampus Kesihatan, Tengku Fareesha Ameera Tengku Mohd Fazlisham; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman; Ketua Pegawai Eksekutif RHB Banking Group, Dato’ Adissadikin Ali; serta Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Perkasa Siswa, Encik Hirman Awang.
Teks dan Foto: Muhammad Afiq Hasraf Hazly, Naib Yang Dipertua, Majlis Perwakilan Pelajar Sidang Akademik 2025/2026
- Created on .
- Hits: 429