KETAHANAN, DISIPLIN DAN WAWASAN TERAS KEM KEPIMPINAN PERDANA MAJLIS TERTINGGI MPD USM
NIBONG TEBAL, 14 Disember 2025 - Kem Kepimpinan Perdana Majlis Tertinggi Majlis Penghuni Desasiswa (MPD) dan Majlis Perwakilan PETAS (MPPETAS) Sidang Akademik 2025/2026 yang berlangsung dari 12 hingga 14 Disember 2025 di Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM), berjaya menghimpunkan seramai 73 pemimpin pelajar dalam usaha melahirkan barisan kepimpinan mahasiswa yang berdaya saing, berdisiplin dan berwawasan selaras dengan agenda pemerkasaan mahasiswa universiti.


Program ini memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta melalui pelbagai aktiviti berasaskan kepimpinan dan kerja berpasukan seperti mendirikan khemah, memasak secara berkumpulan, explorace, night walk dan unipole yang dirangka bagi membina ketahanan fizikal, mental serta kemahiran membuat keputusan dalam situasi mencabar.
Walaupun berdepan cabaran dari segi kawasan bermalam dan pelaksanaan aktiviti berintensiti tinggi, para peserta tetap menunjukkan komitmen serta semangat kerjasama yang konsisten sepanjang program berlangsung.

Kehadiran Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, semasa Malam Kebudayaan turut menyuntik motivasi apabila beliau berkesempatan menyaksikan peserta melaksanakan tugasan yang diberikan dalam tempoh masa yang terhad.

Kem ini melabuhkan tirainya dengan rangkaian acara rasmi yang bermula dengan Majlis Peluncuran Majlis Perwakilan PETAS (MPPETAS) sebagai pengiktirafan rasmi MPPETAS sebagai badan perwakilan mahasiswa yang sah di USM, sebelum diteruskan dengan Majlis Penyerahan Tugas Pengerusi yang menyaksikan peralihan kepimpinan daripada Pengerusi MYDP Sidang Akademik 2024/2025 Saudara Jaz Zairil Abdul Jamin @ Abdul Jamil kepada Pengerusi MYDP Sidang Akademik 2025/2026 Saudara Awangko Emir Irsyad Awangko’ Hamdan sebagai simbol kesinambungan amanah kepimpinan mahasiswa.
Program ini seterusnya diakhiri dengan Majlis Penutup yang disempurnakan oleh Dr. Abdul Rais Abdul Latiff selaku Pengerusi Majlis Penggawa Universiti Sains Malaysia, sekali gus menandakan penutupan rasmi kem kepimpinan berkenaan.

Secara keseluruhan, penganjuran kem ini bertujuan membentuk pemimpin mahasiswa yang holistik, berintegriti dan berkeupayaan memimpin secara berkesan selaras dengan aspirasi USM dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi turut mantap dari segi sahsiah dan kepimpinan.
Teks dan Foto: Majlis yang Dipertua Majlis Penghuni Desasiswa Sidang Akademik 2025/2026.
- Created on .
- Hits: 251