USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PERKUKUH PENGANTARABANGSAAN MENERUSI PROGRAM TILTING FUTURES: TAKE ACTION LAB

USM PULAU PINANG, 15 Disember 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh kedudukannya sebagai universiti bertaraf global melalui Program Tilting Futures: Take Action Lab – Environment & Sustainability, anjuran bersama Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) dan Pejabat Antarabangsa (IO@ USM) yang sebelum ini dikenali sebagai Pusat Mobiliti dan Kolaborasi Antarabangsa (IMCC).

WhatsApp Image 2025 12 15 at 10.19.48 AM

Program sehari “Welcoming Day & Exploring USM” yang berlangsung pada 17 Oktober lalu telah berjalan dengan jayanya bertujuan memperkenalkan para pelajar antarabangsa kepada persekitaran kampus, budaya tempatan, dan usaha berterusan USM dalam memperjuangkan agenda kelestarian sejagat.

WhatsApp Image 2025 12 15 at 10.24.18 AM

Program tersebut disertai oleh 41 pelajar antarabangsa dari 17 negara termasuk Liberia, El Salvador, Ethiopia, Bolivia, Peru, Hungary, Brazil, South Sudan, Rwanda, Kenya, Cambodia, Pakistan, Jerman, Amerika Syarikat, dan lain-lain.

Ia merupakan rekod baharu bagi USM kerana ini adalah kali pertama universiti menerima kehadiran pelajar dari negara-negara berkenaan.

Kehadiran mereka mencerminkan semangat keterangkuman, pengantarabangsaan, dan jaringan global yang semakin kukuh dilaksanakan oleh USM melalui inisiatif baharu ini di bawah program Tilting Futures.

WhatsApp Image 2025 12 15 at 10.21.35 AM

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti menarik telah diatur, antaranya aktiviti luar “Explorace@USM”, dan majlis jamuan makan tengah hari bersama rakan-rakan strategik Tilting Futures.

Terdapat hampir 20 rakan strategik di sekitar Pulau Pinang terlibat dalam program tersebut.

Gabungan aktiviti ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan antara pelajar dan komuniti kampus, malah memperlihatkan komitmen USM terhadap pendidikan berimpak global yang berpaksikan nilai kelestarian, kepelbagaian, dan pemeliharaan alam sekitar.

WhatsApp Image 2025 12 15 at 10.21.55 AM

Berucap dalam majlis berkenaan, Pengarah CGSS merangkap Ketua Program Tilting Futures, Profesor Madya Dr. Mohd Wira Mohd Shafiei menzahirkan penghargaan atas pemilihan USM sebagai tuan rumah bagi program antarabangsa ini serta menekankan peranan universiti dalam merealisasikan visi Mentransformasi Pendidikan Tinggi untuk Kelestarian Hari Esok.

Beliau turut berkongsi keunikan budaya Malaysia yang berbilang kaum, khususnya di negeri Pulau Pinang, sebuah negeri yang terkenal sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO dan destinasi kulinari utama dengan pelbagai hidangan tempatan yang menggamit selera.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Mobiliti) IO@ USM, Sr. Dr. Muneera Esa, dalam ucapannya, secara rasmi mengalu-alukan kedatangan pelajar antarabangsa ke kampus USM.

Beliau menegaskan bahawa penyertaan dalam program seperti Tilting Futures bukan sekadar pengalaman akademik, tetapi juga peluang untuk memahami nilai-nilai kelestarian, kepelbagaian budaya, dan kerjasama antarabangsa.

Beliau turut menggalakkan para pelajar agar menikmati aktiviti Explorace@USM yang dirancang khas untuk meneroka keunikan kampus serta mengenali pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTj) yang berperanan dalam pengurusan dan pembangunan universiti.

Eksekutif Pentadbiran IO@ USM, Mugilan A/L Ravi memperincikan struktur dan perjalanan aktiviti Explorace@USM, selain memperkenalkan barisan fasilitator dan sukarelawan yang terdiri daripada pelajar dan staf USM yang membimbing peserta sepanjang aktiviti, termasuk wakil dari bahagian sukan, pengurusan kampus, perkhidmatan, dan kelestarian.

Seterusnya, Mohd Abdul Muin Md Akil, Pengawai Sains CGSS, memberikan taklimat berkaitan keselamatan sepanjang keberadaan pelajar di dalam dan luar kampus.

Beliau turut memperkenalkan ECOHub USM, sebuah pusat pembelajaran hijau yang menjadi simbol komitmen universiti terhadap kelestarian alam sekitar.

Para peserta diberi pendedahan mengenai aktiviti berasaskan alam semula jadi seperti hiking trail, pemerhatian biodiversiti flora dan fauna, serta panduan do’s and don’ts untuk memastikan keseimbangan ekosistem terus terpelihara.

WhatsApp Image 2025 12 15 at 10.24.48 AMWhatsApp Image 2025 12 15 at 10.25.14 AM

Kemuncak program diserikan dengan majlis jamuan makan tengah hari yang menghimpunkan pelajar antarabangsa, fasilitator serta rakan strategik Tilting Futures sebagai tanda penghargaan atas sokongan padu dan kerjasama yang diberikan kepada CGSS dan IO@ USM dalam menjayakan program berimpak global tersebut.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Pengarah CGSS merangkap Penyelaras Program Tilting Futures, Profesor Madya Dr. Ng Theam Foo bersama barisan pensyarah dan staf CGSS dan IO@ USM.

Kehadiran wakil daripada pelbagai organisasi rakan strategik turut menyerikan majlis, antaranya Penang Green Council, Ammi Arts Studio, The Habitat Foundation, Penang Science Cluster, Water Watch Penang, Entopia, Penang Harmony Corporation (HARMONICO), Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) USM, Green Educators’ Workgroup Penang, dan Think City.

Ternyata program tersebut bukan sahaja memperkukuh hubungan antarabangsa dan semangat kolaborasi antara USM dan Tilting Futures, malah menonjolkan citra USM sebagai universiti yang berteraskan nilai kelestarian, keterangkuman, dan kemanusiaan sejagat, seiring dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan berwawasan serta prihatin terhadap masa depan bumi.

Teks & Foto: Syafiq Saifullah Azmi & Prof. Madya Dr. Ng Theam Foo, CGSS USM/ Suntingan: Tan Ewe Hoe  

  • Created on .
  • Hits: 131

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025