USM, PULAU PINANG, 13 Disember 2025 – Kajian yang diketuai oleh Profesor Ts. Dr. Abdul Hafiz Ab Majid dari Universiti Sains Malaysia (USM) membuktikan bahawa pepijat tropika berpotensi digunakan sebagai sumber bukti forensik baharu hasil penyelidikan berasaskan sains entomologi forensik yang bermula melalui geran 'Fundamental Research Grant Scheme' (FRGS) pada tahun 2017.

Abdul Hafiz yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang entomologi bandar dan molekul dari University of Nebraska Lincoln, Amerika Syarikat menjelaskan bahawa kebanyakan kajian terdahulu lebih tertumpu kepada spesies pepijat di kawasan beriklim sederhana, manakala penyelidikan terhadap pepijat tropika masih sangat terhad di peringkat global.

Menurut beliau, “Pepijat mempunyai keunikan tersendiri kerana pergerakannya terhad dalam radius kira kira 20 kaki serta tidak menyebarkan penyakit, berbeza dengan nyamuk yang hanya mampu mengekalkan DNA manusia selama dua hingga tiga jam selepas menghisap darah.”
Kajian tersebut mendapati pepijat tropika mampu mengekalkan DNA manusia sehingga 45 hari dengan kualiti yang mencukupi untuk tujuan analisis forensik, sekali gus membolehkan pengenalpastian individu yang pernah berada di sesuatu lokasi walaupun selepas lebih sebulan meninggalkannya.
“Dalam konteks profil forensik, pepijat tropika juga berpotensi menyumbang kepada analisis lanjut apabila penggunaan penanda STR dan SNP membolehkan penyelidik menentukan ciri individu seperti jantina, warna rambut, warna mata dan sifat kulit,” jelas Dr. Li Lim, Felo Pasca Doktoral yang terlibat dalam kajian berkenaan.

“Pendekatan ini dapat membantu mengecilkan skop penyiasatan sekiranya terdapat ramai suspek, sekali gus membolehkan pihak berkuasa menumpukan kepada beberapa individu yang sepadan dengan profil yang dikenal pasti,” tambah Abdul Hafiz.
Beliau turut menjelaskan bahawa dalam situasi ketiadaan bukti fizikal lain di lokasi kejadian, pepijat tropika berpotensi berfungsi sebagai alat sokongan penting bagi mengenal pasti kehadiran individu di kawasan tersebut.

Kajian ini dijangka meningkatkan ketepatan siasatan jenayah khususnya dalam kes pembunuhan atau kemalangan apabila bukti konvensional telah hilang, di samping membuka potensi baharu kepada perkembangan bidang entomologi forensik di kawasan tropika.
Teks: Farisha Norlia Akihito, Click Crew @ MPRC/Suntingan: Shafinaz Md Ismail/Foto: Click Crew @ MPRC