IPPT USM–INDUSTRY SYMPOSIUM 2025 PERKUKUH SINERGI PENYELIDIKAN–INDUSTRI DAN PEMBANGUNAN BAKAT MASA HADAPAN
PULAU PINANG, 10 Disember 2025 – Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM), baru‑baru ini telah menganjurkan IPPT USM–Industry Symposium 2025, sekali gus mengukuhkan komitmennya untuk merapatkan jurang antara penyelidikan akademik dan keperluan sebenar industri.

Bertempat di Eastin Hotel, Pulau Pinang, simposium bertemakan ‘Bridging Minds, Building Futures: Industry Insights for Research and Career Readiness’ itu menghimpunkan pemimpin industri daripada sektor penjagaan kesihatan, teknologi perubatan, dan elektronik.

Program tersebut bertujuan memperkukuh sinergi penyelidikan–industri, meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memupuk kerjasama strategik antara akademia, industri dan agensi kerajaan.
Usaha tersebut selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti); SDG 8 (Pekerjaan yang Baik dan Pertumbuhan Ekonomi); SDG 9 (Industri, Inovasi dan Infrastruktur) dan SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat).

Dalam ucapan alu-aluan, Pengarah IPPT, Profesor Madya Dr. Bakiah Shaharuddin, menekankan kepentingan menterjemah penyelidikan kepada penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat dan industri.
Beliau turut menegaskan bahawa platform seperti simposium ini menyokong pembelajaran holistik dengan mendedahkan pelajar dan penyelidik kepada jangkaan industri di luar bilik kuliah.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Dr. Azlan Amran, yang menegaskan kepentingan kerjasama akademia–industri dalam mempercepat inovasi dan memperkukuh pembangunan modal insan negara.
“Penyelidikan yang diperkasa melalui kolaborasi industri membuka peluang baharu dalam pembangunan teknologi kesihatan dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Simposium turut menampilkan ucaptama oleh Dr. David Lacey, Pengarah Hal Ehwal Luaran OSRAM Opto Semiconductors, yang membincangkan peluang inovasi MedTech melalui kekuatan ekosistem elektronik Malaysia.
Sesi tersebut memberi perspektif baharu mengenai integrasi teknologi maju dengan keperluan kesihatan untuk menghasilkan penyelesaian mampan.

Forum bertajuk ‘Shaping the Future of Translational Research in Healthcare’ menghimpunkan pakar dari Kementerian Kesihatan Malaysia, SIRIM Berhad dan USM, dengan perbincangan tertumpu kepada usaha memperkukuh penyelidikan translasi bagi meningkatkan kualiti dan akses perkhidmatan kesihatan negara.
Antara tarikan utama ialah sesi Talent Match, yang mana pemimpin industri berkongsi pandangan mengenai kesediaan kerjaya dan kebolehpasaran graduan.

Pelajar mendapat pendedahan langsung terhadap jangkaan industri termasuk kompetensi utama, kemahiran insaniah, dan daya saing global.
Forum Industry Insights yang berlangsung selepas itu turut memperdalam perbincangan mengenai hala tuju kerjaya strategik untuk graduan masa hadapan.

Peserta juga berpeluang menyertai sesi temu duga olok-olok (mock interview) bersama pakar industri, yang mana mereka mendapat pengalaman praktikal dan keyakinan dalam situasi temu duga sebenar.
Pengerusi Simposium, Profesor Madya Dr. Rafidah Zainon, menyatakan bahawa program ini berjaya melaraskan penyelidikan pascasiswazah dengan keutamaan industri, dan pada masa yang sama, menggalakkan penglibatan bermakna antara pelajar dan profesional industri.
Beliau turut memuji para peserta atas penglibatan aktif mereka bersama ahli panel dan wakil industri sepanjang sesi.




Majlis penutup disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Jaringan, IPPT USM, Profesor Dr. Badrul Hisham Yahaya, yang merakamkan penghargaan kepada rakan industri dan agensi kerajaan yang menyertai simposium ini, termasuk Osram Opto Semiconductors, B. Braun Medical Industries, Keysight Technologies, Teleflex Medical, SIRIM Berhad, Association of Malaysian Medical Industries, dan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Melalui program yang tersusun dan berimpak tinggi ini, simposium berkenaan berjaya memperkukuh usaha IPPT dalam memperluas kerjasama industri, meningkatkan pemindahan teknologi, dan membangunkan bakat masa hadapan untuk ekosistem teknologi perubatan dan kesihatan negara.
Teks: Tan Ewe Hoe/Foto: IPPT USM
- Created on .
- Hits: 220