USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

GREEN RIBBON MINI CARNIVAL USM PUPUK EMPATI DAN INKLUSIVITI UNTUK KANAK-KANAK PALSI SEREBRUM

USM, PULAU PINANG, 9 Disember 2025 — “Green Ribbon Mini Carnival”, sebahagian daripada kempen kesedaran sosial “Sprout Up” yang diketuai oleh pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Komunikasi, telah berlangsung dengan jayanya di The Bricks dan Dataran Merah, sebagai usaha meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap palsi serebrum melalui pendekatan pendidikan, advokasi dan interaksi komuniti.

IMG 9070

Inisiatif ini dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Palsi Serebrum Pulau Pinang (CPAP), sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang komited meningkatkan kualiti hidup kanak-kanak dan individu yang menghidap palsi serebrum, melalui program yang memberi ruang pembelajaran, sokongan dan pemerkasaan.

10000 EXPRESSIONS OF DOUDOU COLORING CONTEST

Karnival ini menarik lebih daripada 100 peserta yang terdiri daripada pelajar, pensyarah, profesional kesihatan dan aktivis palsi serebrum, melalui pengisian yang membolehkan mereka berinteraksi secara langsung dengan pakar dan penderita palsi serebrum bagi memahami cabaran harian golongan tersebut.

IMG 9055

Sepanjang acara tersebut, Pakar Pediatrik Umum dan Kesihatan Kanak-Kanak Ketidakupayaan Neuro Hospital Pulau Pinang, Dr. Tan Lay Tin, menyampaikan ceramah bertajuk Faces of Courage: 'Learning About Cerebral Palsy Together', yang membetulkan mitos umum mengenai palsi serebrum serta menekankan kepentingan pengesanan awal, pengurusan holistik dan peluang yang sama untuk individu yang menghidap keadaan tersebut.

Dr. Tan menjelaskan bahawa palsi serebrum bukan penyakit berjangkit atau keadaan yang disebabkan oleh virus, sebaliknya melibatkan gangguan perkembangan otak, dengan salah satu jenis yang paling lazim ialah Palsi Serebrum Spastik yang berkait dengan kekejangan otot yang menyebabkan cabaran seperti kesakitan, air liur berlebihan, gangguan pertuturan dan masalah deria.

“Dengan teknologi semasa, palsi serebrum tidak dapat disembuhkan sepenuhnya namun pengesanan dan intervensi awal amat penting dalam meningkatkan kualiti hidup pesakit,” ujar Dr. Tan sambil menekankan kepentingan penilaian perubatan awal.

“Ibu bapa perlu memerhatikan tanda-tanda pada anak-anak mereka seperti pergerakan kepala yang lambat, pergerakan tangan yang tidak normal, ketidakmampuan untuk memusingkan badan, atau kekurangan kemampuan untuk “babbling” melebihi umur dua tahun tanpa dapat menyebut perkataan dan ayat penuh,” tambah Dr. Tan, sambil menekankan bahawa penilaian perubatan awal adalah penting untuk mengelakkan kesalahan diagnosis dan memastikan rawatan tepat pada masanya. 

Dalam sesi tersebut, Dr Tan turut menerangkan kaedah pengurusan palsi serebrum seperti suntikan botulinum toksin bagi melonggarkan otot yang tegang, rawatan pemulihan melalui pembalutan, penggunaan alat sokongan serta terapi yang menyokong kebebasan dalam aktiviti harian pesakit.

MOBILITY MAZE

“Kanak-kanak palsi serebrum berhak menerima penghormatan, martabat, dan peluang yang sama seperti orang lain,” katanya, sambil menyarankan lebih banyak peluang melalui pendidikan biasa, latihan vokasional, dan pembangunan kemahiran supaya mereka dapat bekerja, hidup secara berdikari, dan melibatkan diri sepenuhnya dalam masyarakat. 

Seorang alumni USM dan aktivis palsi serebrum, Tan Chin Chin, turut berkongsi pengalamannya membesar dengan palsi serebrum dan menjelaskan bahawa beliau mula menerima rawatan ketika masih bayi sebelum mempelajari kemahiran duduk, berjalan dan menguruskan kehidupan harian melalui terapi intensif dengan sokongan keluarga dan CPAP.

IMG 9057

“Ibu menghantar saya untuk menerima rawatan ketika saya masih bayi kerana saya tidak dapat memusingkan badan, dan apabila saya berumur dua tahun, saya masih belum mampu duduk sendiri sehingga ibu terpaksa menggunakan bantal dan kerusi bayi untuk membantu saya berlatih duduk,” kenang Tan.

“Saya ditolak daripada memasuki tadika kerana mereka tidak menerima kanak-kanak seperti saya, namun CPAP bernasib baik menerima saya untuk pendidikan asas ketika saya berumur tiga tahun,” kongsi beliau mengenai cabaran awal pendidikannya.

IMG 1366.PNG 1

“Saya beransur-ansur belajar berjalan pada usia empat hingga lima tahun dengan bantuan alat penyokong bayi, dan memulakan Tahun Satu pada usia sembilan tahun, sementara ibu sentiasa berada di sisi saya, membantu saya menaiki pengangkutan awam dan juga membantu saya di tandas,” imbas Tan tentang perjalanan kehidupannya yang diharungi dengan sokongan ibunya dan rawatan terapi.

Hari ini, Tan berkhidmat sebagai Pegawai Penyelidik Sosial di Pusat Perancangan Institusi dan Strategik IPSC USM sejak 2008, yang mencerminkan keberkesanan terapi berterusan, sokongan keluarga dan ketabahan dalam meningkatkan kualiti hidup individu palsi serebrum.

Karnival tersebut turut menampilkan pameran seni berunsurkan kesedaran yang mempamerkan perspektif kanak-kanak palsi serebrum serta aktiviti simulasi yang membolehkan peserta merasai cabaran mobiliti dan deria yang dihadapi oleh kanak-kanak ini dalam kehidupan harian.

“Green Ribbon Mini Carnival” menjadi manifestasi kerjasama pelajar USM, CPAP dan komuniti dalam mempromosikan inklusiviti serta pemahaman masyarakat terhadap kanak-kanak palsi serebrum, sekali gus menyokong usaha berterusan kempen ini memupuk budaya empati, advokasi dan sokongan kepada golongan berkeperluan khas tersebut.

Teks & Foto: Nur Adrea Daniella Mohd Amin David, pelajar Pusat Pengajian Komunikasi

  • Created on .
  • Hits: 196

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025