NC USM SERU 45 AHLI MPP SA 2025/2026 TUNJUKKAN KREDIBILITI DAN UTAMAKAN KESEJAHTERAAN WARGA KAMPUS
USM PULAU PINANG, 8 Disember 2025 – Selaras dengan agenda pemerkasaan mahasiswa, ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Malaysia (USM) yang dilantik perlu ada matlamat sendiri, bekerja dalam satu pasukan, perlu menunjukkan kredibiliti sebagai seorang pemimpin, dan yang paling utama adalah memastikan kesejahteraan mahasiswa dan mahasiswi serta warga staf.

Demikian ujar Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, ketika memberi ucapan beliau kepada 45 ahli MPP Sidang Akademik 2025/2026 semasa Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan dan Lafaz Ikrar di Bilik Persidangan Universiti, USM Kampus Induk.
“Ahli MPP juga perlu memberi keutamaan kepada agenda pemerkasaan pelajar dan terus memacu memperkukuh program pembangunan, insfraktutur, dan menyokong kesejahteraan mental pelajar,” ujarnya.

Tambahnya lagi, ahli MPP perlu bekerjasama dengan persatuan-persatuan yang ada, warga kampus, dan masyarakat luar.
Sementara itu, Azfar Al Hafiz Azman, Yang Dipertua MPP USM dalam ucapannya berkata, pada sidang kali ini, kami membawa satu tekad yang jitu iaitu mahasiswa bangkit bersama.
“Watikah ini bukan sekadar pengiktirafan dari pihak universiti tetapi adalah satu amanah dan tanggungjawab yang amat berat dan didoakan supaya gerak kerja yang akan kami dilakukan selama satu sidang ini merupakan yang terbaik,” katanya.

Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan dan Lafaz Ikrar MPP USM SA 2025/2026 memperlihatkan seramai 29 orang pelajar dari Kampus Induk, 8 dari Kampus Kejuruteraan, dan 8 dari Kampus Kesihatan telah hadir bagi menerima watikah.
Turut hadir bersama ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya; Pendaftar USM, Mohd Azizudin Mohd Shariff; Pengarah Pusat Transformasi Digital USM, Profesor Ir. Dr. Nor Ashidi Mat Isa; Pengarah Pejabat Pengurusan Projek USM, Ts. Arman Abdul Razak; Timbalan Ketua Pustakawan, Radia Banu Jan Mohamad; Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar USM, Profesor Dr. Azizah Omar; Timbalan Pendaftar Kanan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni (BHEPA) USM, Shukeri A. Rahaman; pegawai-pegawai BHEPA; dan barisan Jawatankuasa Pemilihan MPP (JPMPP) SA 2025/2026.
Sebagai rekod, pengumuman keputusan yang telah dilakukan di Dewan Pembangunan Siswa 1, KOMCA pada 11 November 2025 yang lalu memperlihatkan seramai 15,055 pelajar layak memilih dan yang keluar mengundi adalah 9,900 pelajar.
USM mengucapkan tahniah kepada ahli MPP USM yang baharu dilantik serta mengucapkan jutaan terima kasih kepada BHEPA, JPMPP, dan mantan barisan MPP USM bagi sidang akademik 2024/2025 yang telah menjalankan amanah dengan begitu cemerlang sekali.
Teks & Foto: Unit Media dan Penerbitan BHEPA USM
- Created on .
- Hits: 313