DELEGASI SCSU TEROKA PELUANG KERJASAMA DENGAN USM
PULAU PINANG, 7 Okt. 2013 - Delegasi dari St. Cloud State University (SCSU), Minnesota, Amerika Syarikat komited meneroka peluang lebih terperinci bagi bekerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) melalui satu memorandum perjanjian (MoA) yang ditandatangan di sini hari ini.
Presidennya, Dr. Earl H. Potter III berkata, pihaknya teruja diberi peluang untuk berkolaborasi dengan salah sebuah universiti terkemuka di Malaysia dan berhasrat untuk menjalin pelbagai kerjasama strategik khasnya yang melibatkan pembangunan bidang pengajian tinggi di peringkat global.
Katanya, kunjungan pertama beliau ke USM memberi satu gambaran yang amat signifikan untuk SCSU memperkukuh pencapaian bersama USM khususnya melibatkan pembangunan penyelidikan, pertukaran staf dan pelajar serta pelbagai lagi.
``SCSU bersedia bekerjasama dalam pelbagai perkara yang dapat memberi manfaat kepada pembangunan pendidikan dan juga penyelidikan,’’ katanya ketika berucap pada majlis penandatanganan MoA itu di sini hari ini.
Pemangku Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal menandatangan bagi pihak USM. Turut serta dalam majlis tersebut ialah Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, Dr. Nor Malina Malik.
Ahmad Shukri pula berkata, USM sentiasa meneroka peluang untuk mengukuhkan sayapnya dengan berkolaborasi bersama rakan strategik di peringkat global meliputi pelbagai lapangan akademik.
Katanya, USM berharap melalui kerjasama itu kedua-dua pihak dapat menghasilkan output yang signifikan termasuk pengukuhan dalam penawaran program akademik yang dapat memberi manfaat kepada pelajar di kedua-dua universiti. Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1094