DARI PENGORBANAN KE PENTAS KEJAYAAN: PASANGAN IBU DAN ANAK CIPTA DETIK BERHARGA TERIMA SKROL BERSAMA
PULAU PINANG, 30 November 2025 – Upacara Konvokesyen ke-63 Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi mencatat kisah penuh inspirasi apabila pasangan ibu dan anak melakar detik bermakna dengan berkongsi pentas konvokesyen yang sama, meskipun berbeza generasi dan perjalanan akademik.

Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kedah, Dr. Sharina Saad, 56, menerima Ijazah Doktor Pendidikan (TESOL), manakala anak perempuan bongsunya, Alia Nabella Fateha Zolkifli, 23, pula menerima Ijazah Sarjana Sastera (Bahasa Inggeris dan Kesusasteraan).

Kedua-duanya adalah antara graduan yang diraikan sempena Upacara Konvokesyen ke-63 USM yang berlangsung dari 25 November hingga 2 Disember 2025.

Sharina berkata, beliau tidak mampu menggambarkan perasaannya saat meraikan kejayaan manis itu bersama seluruh keluarga, sambil menyifatkan pencapaian tersebut lahir daripada ketabahan, semangat dan kecintaan mereka terhadap ilmu.
“Skrol ini bukan sahaja membuktikan bahawa pembelajaran sepanjang hayat adalah satu realiti, tetapi juga simbol keberanian saya untuk terus mencuba.
“Meskipun berdepan tuntutan kerjaya, tanggungjawab keluarga serta cabaran akademik yang menuntut kekuatan dan ketabahan jiwa, saya gembira kerana mempunyai rakan baik iaitu anak saya yang turut sama bertungkus-lumus mengulang kaji,” katanya.
“Saya simpulkan kejayaan ini sebagai hasil pengorbanan seorang ibu, doa yang tidak pernah putus, serta langkah seorang anak yang mengekori jejak kecemerlangan wanita yang amat dikasihinya,” ujarnya.

Sharina turut menzahirkan penghargaan kepada suami, anak-anak, keluarga, rakan-rakan serta pihak pengurusan UiTM yang menjadi tulang belakang kejayaannya.
Beliau turut berkongsi detik paling menghibakan dalam perjalanan mereka menuntut ilmu apabila, pada tahun 2023, Alia Nabella dimasukkan ke ICU selama hampir sebulan akibat serangan sakit saraf.
“Keadaan itu memaksanya berkerusi roda pada semester pertama pengajiannya di USM. Namun alhamdulillah, dari katil hospital Alia Nabella melangkah ke USM, dan dari berkerusi roda beliau akhirnya mampu berdiri dan menaiki pentas konvokesyen.
“Semuanya dengan izin Allah SWT, berkat doa semua dan usaha yang tidak pernah goyah. Semoga kisah ini menjadi inspirasi kepada generasi muda yang bergelut mengejar cita-cita,” katanya dalam nada sebak.
Sementara itu, Alia Nabella menyifatkan detik berkongsi pentas graduasi bersama ibunya sebagai anugerah terindah dalam hidupnya.
“Mama adalah inspirasi dan kekuatan saya. Beliau ialah idola saya, wanita paling gigih yang tidak pernah mengalah dalam mengejar cita-cita.
“Melihat Mama berjuang menamatkan pengajian sambil tetap menjalankan tugas sebagai pendidik dan ibu memberikan inspirasi luar biasa untuk saya berusaha lebih keras. Hari ini bukan sahaja hari graduasi kami, tetapi hari yang mencatat sejarah keluarga,” katanya penuh bersemangat.
Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Dr. Sharina Saad, UiTM Cawangan Kedah
- Created on .
- Hits: 62