USM PELOPOR TRANSFORMASI DIGITAL WARISAN, BAWA WAYANG KULIT KELANTAN KE DUNIA VR DI RANCAKKAN MADANI 2025
PUTRAJAYA, 6 Disember 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Seni (SOTA) mengorak langkah baharu dalam memartabatkan seni budaya apabila mempersembahkan pameran galeri realiti maya VR WYG Dimension berasaskan wayang kulit Kelantan di Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku anjuran kerajaan di Dataran Putrajaya, yang menampilkan penyertaan pelbagai agensi bagi merancakkan inisiatif MADANI peringkat nasional.

Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku berlangsung dari 5 hingga 7 Disember dan menampilkan pameran serta perkhidmatan agensi kerajaan bagi mendekatkan masyarakat dengan inisiatif MADANI, sekali gus memberi ruang pendedahan lebih luas kepada hasil inovasi USM.
Pensyarah Kanan SOTA, Dr. Fara Dayana Mohd Jufry berkata penglibatan mereka dalam program tersebut mendapat komitmen sepenuhnya daripada pihak pengurusan tertinggi pusat pengajian, yang memperlihatkan sokongan institusi terhadap gabungan seni tradisi dan inovasi teknologi.

“SOTA memberi sokongan penuh dari segi pengurusan untuk menghadiri acara ini, termasuk sokongan langsung daripada dekan dan pasukan pengurusan tertinggi,” kata Dr. Fara.
Selain beliau, USM turut diwakili oleh Dr. Azrul Azizi Amirrul serta rakan kolaborator dari institusi lain termasuk tiga wakil Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan seorang penyelidik dari Multimedia University (MMU), yang bersama sama menyumbang kepakaran dalam penyelidikan dan pembangunan kandungan digital tersebut.

Kandungan kesenian pula dibangunkan dengan bantuan dalang terkenal Kelantan, Pak Dain, serta karyawan tamu USM, Encik Che Mat Jusoh, bagi memastikan elemen tradisional wayang kulit dikekalkan dalam adaptasi teknologi VR.
Menurut Dr. Fara, pameran berkenaan memberi peluang kepada pengunjung merasai pengalaman imersif seni tradisional melalui teknologi VR, yang menyuntik nafas baharu dalam usaha memperkenalkan warisan Kelantan kepada generasi masa kini.
“Program ini menampilkan galeri VR wayang kulit Kelantan yang membolehkan pengunjung mengalami suasana sebenar secara imersif,” tambah Dr Fara.

Beliau menjelaskan bahawa projek WYG Dimension bukan sahaja mempromosikan warisan budaya, malah memberi nilai tambah kepada pelajar SOTA, khususnya melalui pendedahan kepada proses pembelajaran berasaskan teknologi seni digital.
“Produk ini dapat memberi pendedahan kesenian negeri Kelantan kepada pelajar sepanjang proses PdP yang menjadikan pembelajaran lebih mudah, lebih efektif dan dapat mengurangkan kos,” ujar Dr. Fara.
Menurut beliau, akses kepada bahan seni secara maya membolehkan pelajar memahami konteks sebenar persembahan wayang kulit tanpa perlu berada di lokasi fizikal, sekali gus memperluas kaedah pembelajaran yang fleksibel dan berkos rendah.
Pihak SOTA berpandangan bahawa usaha menggabungkan seni tradisional dengan teknologi moden mampu menguatkan lagi reputasi USM di mata industri, terutamanya dalam bidang seni digital dan inovasi warisan.
Beliau menyatakan tidak banyak institusi pengajian tinggi memberi fokus serius terhadap integrasi warisan budaya dan teknologi, yang menjadikan inisiatif ini satu kelebihan kompetitif bagi USM dalam ekosistem inovasi seni negara.

“Dengan adanya pameran ini, kepercayaan industri terhadap USM meningkat dan kerjasama menjadi lebih utuh dalam usaha memartabatkan warisan Malaysia,” tambah Dr. Fara.
“Kesenian tradisional seperti wayang kulit Kelantan sama penting dengan teknologi dan sains kerana ia merupakan jati diri bangsa dan negara,” ujar beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa teknologi membuka peluang baharu untuk memastikan kesenian tradisional terus lestari, dengan peranan semua pihak diperlukan agar warisan tersebut tidak berdepan risiko dilupakan.
Teks: Farisha Norlia Akihito, pelajar Pusat Pengajian Komunikasi/Foto: SOTA
- Created on .
- Hits: 85