USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM HIMPUN 10,000 PESERTA DALAM MASS CPR-AED 2025, SASAR PECAH REKOD DUNIA DAN MALAYSIA

USM, PULAU PINANG, 7 Disember 2025 – Program Mass CPR-AED 2025 yang berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menghimpunkan ribuan peserta dari seluruh negeri dalam usaha memperkasa masyarakat dengan kemahiran asas menyelamatkan nyawa, sekali gus memperkukuh kesedaran awam terhadap kepentingan tindakan awal ketika kecemasan jantung.

WhatsApp Image 2025 12 07 at 11.27.37

Program ini dianjurkan oleh Penang Heart Safe Society dengan kerjasama USM, St John Ambulans Malaysia dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, disokong dan diperakui oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang serta Malaysian Red Crescent, dan turut menerima sokongan daripada Polis Diraja Malaysia PDRM.

WhatsApp Image 2025 12 07 at 11.27.30 2 1

WhatsApp Image 2025 12 07 at 11.27.30 1

Majlis perasmian disempurnakan oleh Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen, yang menyifatkan program bertemakan One Beat, One Heart itu sebagai platform penting dalam meningkatkan kesiapsiagaan awam terhadap serangan jantung mengejut.

“Setiap saat amat berharga dan dalam keadaan kritikal seperti ini, tindakan awal oleh individu yang terlatih boleh menyelamatkan nyawa,” katanya ketika merasmikan program berkenaan di Dataran Merah USM.

Beliau turut menegaskan bahawa inisiatif tersebut selaras dengan komitmen universiti dalam memperkukuh kesiapsiagaan komuniti dan memperluas akses latihan menyelamatkan nyawa, terutamanya melalui kerjasama strategik dengan pelbagai agensi berkaitan.

WhatsApp Image 2025 12 07 at 11.27.30

Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Dr. Azlan Amran, menyatakan bahawa program berskala besar ini menyasarkan sehingga 10,000 peserta sebagai usaha rasmi universiti untuk percubaan memecahkan rekod Guinness World Records dan Malaysia Book of Records bagi penyertaan latihan CPR-AED terbesar, mencerminkan aspirasi USM dalam memacu pendidikan kesihatan awam pada peringkat nasional.

Menurut Presiden Penang Heart Safe Society, Dato Dr. Luah Lean Wah, program ini berperanan memupuk kesedaran menyelamatkan nyawa dalam kalangan masyarakat, yang dapat memberi keyakinan kepada setiap peserta untuk bertindak tepat ketika detik kecemasan yang menentukan peluang seseorang untuk diselamatkan.

Seiring dengan itu, Gooi menekankan bahawa setiap peserta bukan sahaja mempelajari kemahiran praktikal tetapi turut memikul tanggungjawab moral sebagai individu yang mampu menyelamatkan nyawa, selaras dengan aspirasi membentuk masyarakat yang lebih bersedia dan prihatin.

Gooi berharap pengalaman ini akan mendorong peserta membawa pengetahuan CPR dan AED ke komuniti masing masing agar menjadi contoh budaya heart safe di Pulau Pinang serta memberi inspirasi kepada lebih ramai orang untuk turut terlibat dalam usaha keselamatan jantung.

WhatsApp Image 2025 12 07 at 11.27.38

Penganjuran Mass CPR AED 2025 mengukuhkan peranan USM sebagai Universiti APEX dalam memacu pendidikan kesihatan awam serta menyokong komitmen universiti terhadap SDG 3 Kesihatan dan Kesejahteraan dan SDG 17 Perkongsian untuk Matlamat melalui kerjasama strategik bersama NGO, agensi kerajaan dan komuniti, yang sekali gus memperluas impak sosial universiti kepada masyarakat.

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dato Dr Fazilah Shaik Alaudin, Komander Negeri Penang St John Ambulans Malaysia Cawangan Pulau Pinang, Dato Seri Dr Yee Thiam Sun, Pengerusi Palang Merah Malaysia Cawangan Pulau, Daniel Lim Tat Pin, Pengarah Pusat Sejahtera USM, Dr Ahmad Zaimi Abdul Latiff, serta barisan penaja utama program berkenaan.

Teks: Lim Min Jun, pelajar Pusat Pengajian Komunikasi/Suntingan: Shafinaz Md Ismail/Foto: Muhamad Faris Darwisy Mohammad Rafiq

  • Created on .
  • Hits: 183

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025