USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KOLABORASI USM-UNTIRTA: SERUMPUN BAK SERAI, SESUSUN BAK SIRIH

USM PULAU PINANG, 1 Disember 2025 – Itulah peribahasa yang sesuai dinukilkan untuk menggambarkan hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia yang bukan sahaja datang dari akar umbi yang sama, malah memiliki budaya, bahasa, dan sejarah yang hampir serupa.

Seperti serai yang tumbuh serumpun, dan sirih yang diikat tersusun, kolaborasi ini bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan strategik antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universitas Sultan Ageng Tirtayasa (UNTIRTA) melalui penglibatan 10 orang pelajar terpilih dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK), diiringi oleh Dr. Siti Rahyla Rahmat dan Profesor Madya Dr. Aswati Hamzah.

Program ‘Indonesia Immersion: A Cultural and Academic Journey’ tersebut dianjurkan selama 5 hari, bermula daripada 24 November hingga 28 November 2025 di Banten, Indonesia dengan kerjasama erat Fakultas Ekonomi dan Bisnes UNTIRTA dan PPSK USM.

Melalui pengalaman seumpama ini, delegasi USM berkesempatan untuk melihat sendiri bagaimana mengekalkan gaya hidup tradisi yang tidak hanya unik, tetapi juga selari dengan prinsip Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.

Amalan tanam padi huma mereka, misalnya, merupakan cerminan jelas bagi SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab) kerana menggunakan sumber asli secara mampan tanpa input kimia.

Gaya hidup berasaskan komuniti mereka turut menyumbang kepada SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan) dan SDG 8 (Pekerjaan yang Baik dan Pertumbuhan Ekonomi) melalui pekerjaan tradisional yang diwarisi.

Program kerjasama ini turut disertai oleh rakan universiti tempatan, Universitas Sriwijaya (UNSRI).

Para pelajar juga turut berpeluang menyertai pertandingan ‘specialty coffee’ dan fotografi yang dikelola oleh pihak UNTIRTA.

Dalam pertandingan fotografi, USM berjaya membawa pulang beberapa anugerah: Nurul Deanna Maideen dan Mohd. Zulhilmi Zahkeria masing-masing meraih tempat pertama dan ketiga dalam kategori 'Human Interest', manakala Nuraina Natasha Ismaad memenangi anugerah utama 'Best Picture for All Categories'.

Bagi pertandingan ‘specialty coffee’ pula, Muhammad Harith Abu Bakar dan Nurul Deanna Maideen masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga dalam kategori 'Sensory'.

Muhammad Afiq Hakim Zaini turut muncul sebagai juara dalam kategori 'Balance of Taste'. Para pelajar berpeluang mempelajari teknik menghasilkan kopi yang enak dan harum.

Tidak ketinggalan, delegasi USM juga telah menjayakan sesi ‘podcast’ yang dihoskan oleh Wanti Najwa Salsabila bersama pihak Digital Media Centre UNTIRTA.

Sesi yang dirakam untuk Channel YouTube @DMCCreativity itu membolehkan para pelajar saling berkongsi idea serta bertukar-tukar pengalaman dan pandangan dalam mencari titik persamaan antara dua buah negara.

Aktiviti tersebut membolehkan pelajar USM dan UNTIRTA membina pemahaman bersama, memperkukuh jaringan akademik dan budaya serta merakam kenangan antara kedua-dua institusi.

Pelaksanaan program mobiliti itu bertujuan untuk membolehkan pelajar mengalami sendiri perbezaan sistem pembelajaran, budaya akademik, serta suasana institusi pengajian tinggi di luar negara, khususnya di lndonesia.

Hal ini selaras dengan matlamat universiti untuk melahirkan graduan yang holistik, mempunyai daya saing yang tinggi serta mampu menyerlah di peringkat antarabangsa.

Keberhasilan program tersebut diharap dapat membuka ruang dan peluang kepada pelajar untuk memaksimumkan potensi mereka sekaligus memperkasa aspek kepimpinan pelajar dalam bidang akademik, sosial, dan masyarakat.

Melalui program kolaborasi sebegini, USM berhasrat untuk terus mengukuhkan rangkaian kerjasama antarabangsa bersama pelbagai institusi pendidikan global.

Setinggi-tinggi penghargaan juga diucapkan kepada Pejabat Antarabangsa USM (IO@USM) dan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan atas tajaan dan sokongan mereka dalam menjayakan program mobiliti dan kolaborasi antarabangsa tersebut.

Teks & Foto: Nuraina Natasha Ismaad & Dr. Siti Rahyla Rahmat, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, USM/Suntingan: MPRC

  • Created on .
  • Hits: 134

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025