USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ANGAN TERBANG TINGGI: VANGUARD PRODUCTION USM JOHAN FILEM PENDEK ANJURAN IKIM

USM, PULAU PINANG, 6 Disember 2025 – Vanguard Production yang terdiri daripada alumni dan pelajar Universiti Sains Malaysia telah mengharumkan nama universiti apabila dinobatkan sebagai juara pertandingan filem pendek anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia IKIM.

WhatsApp Image 2025 12 06 at 15.46.59

Filem pendek berjudul ANGAN merupakan usaha kolaboratif seorang pensyarah, alumni dan pelajar daripada pelbagai jurusan iaitu Encik Zaini Abu Hasan, Tan Yong Shane, Rico Jeff Muhammad Ihsan Azmi, Amerul Shah Osman Shah, Muhammad Mohd Zakree, Mawarni Shahida Zulkefli, Aishah Afiqah Abd Aziz, Aedy Zulkefli dan Amzar.

Menurut Penerbit Eksekutif merangkap pelakon, Tan Yong Shane, kerjasama ini bukan sahaja menghasilkan sebuah karya yang bermutu tetapi turut mencungkil bakat terpendam dalam kalangan ahli pasukan, terutamanya apabila mereka yang kebiasaannya bekerja di belakang tabir turut tampil sebagai pelakon projek ini.

Menurut Shane, ANGAN mengisahkan Ayaan, seorang pelajar universiti berpendapatan rendah yang bercita-cita menjadi penerbit filem.

“Kisah ini diinspirasikan daripada pengalaman sebenar pasukan Vanguard Production sebagai sekumpulan pelajar yang berkongsi minat mendalam terhadap dunia perfileman,” katanya.

Kos produksi yang tinggi memaksa ahli Vanguard Production mengumpul dana pembuatan filem dan melakukan kerja sambilan, bagi memastikan projek-projek mereka dapat disiapkan mengikut perancangan.

Setakat ini, Vanguard Production telah menghasilkan tujuh filem pendek bajet rendah, dengan tiga daripadanya meraih tempat pertama dan dua disenaraikan sebagai finalis festival filem.

“Segala cabaran yang ditempuhi menjadi pemangkin untuk kami terus berkembang,” kata Shane.

Menurut beliau, salah satu cabaran terbesar dalam menghasilkan ANGAN ialah bekerja dengan bajet hanya RM30.

Selain itu, penggambaran dijalankan dalam tempoh yang singkat iaitu selama dua hari berturut-turut, menambahkan lagi tekanan kepada jadual produksi.

Pascaproduksi turut berjalan dalam tempoh sangat singkat kerana proses suntingan disiapkan dalam masa satu minggu sahaja, disertai kekangan pelakon kerana tiada bajet untuk bayaran, yang menyebabkan ahli pasukan terpaksa memegang pelbagai peranan serentak.

Keadaan tersebut menyebabkan mereka perlu mengurus kamera, lampu, audio, pengarahan dan lakonan dalam satu produksi, menjadikan projek ini satu latihan intensif merangkumi seluruh proses perfileman.

Walaupun berdepan pelbagai kekangan, semangat, kerjasama dan dedikasi pasukan berjaya merealisasikan ANGAN, sekali gus membuktikan bahawa kreativiti mampu berkembang walaupun dalam keadaan tekanan dan sumber yang terhad.

WhatsApp Image 2025 12 06 at 15.47.00

“Pasukan kami merancang untuk menghasilkan projek yang lebih besar dan mencapai tahap global, dengan sasaran menyertai festival filem antarabangsa seperti SEA Shorts Film Festival, Taiwan Short Film Festival dan Japan Short Film Festival,” kata Shane.

“Dengan wang kemenangan sebanyak RM15,000 daripada pertandingan anjuran IKIM, kami merancang melabur dalam peralatan yang lebih baik, mengembangkan pasukan dan memperkukuhkan kehadiran dalam industri perfileman,” tambah beliau.

Teks: Farisha Norlia Akihito, pelajar Pusat Pengajian Komunikasi/Suntingan: Shafinaz Md Ismail

  • Created on .
  • Hits: 114

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025