USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

AAMC 2025: FOKUS KEPIMPINAN BERINTEGRITI DALAM ERA TRANSFORMASI AI

WhatsApp Image 2025 12 05 at 15.21.04 1

PULAU PINANG, 5 Disember 2025 – Pusat Pengajian Pengurusan, Universiti Sains Malaysia (USM) bersama Asian Academy of Management (AAM) mengumumkan penganjuran Asian Academy of Management International Conference 2025 (AAMC 2025) yang berlangsung dari 5 hingga 6 Disember 2025, menghimpunkan penyelidik, ahli akademik, pembuat dasar dan pengamal industri bagi membincangkan isu semasa dalam bidang pengurusan serta pembangunan perniagaan di Asia.

Persidangan dwitahunan ini memberi tumpuan kepada tema “Leading with Integrity: The Role of AI in Shaping Sustainable Businesses”, yang menekankan peranan kecerdasan buatan dalam membentuk organisasi mampan selaras dengan keperluan pemimpin masa kini untuk mengurus inovasi secara bertanggungjawab.

Penggunaan AI dalam dunia korporat membuka peluang untuk meningkatkan kecekapan dan inovasi, namun turut membawa cabaran berkaitan ketelusan, akauntabiliti dan keadilan yang memerlukan pendekatan kepimpinan berasaskan integriti.

Persidangan ini bertujuan mengupas bagaimana pemimpin dapat mengemudi transformasi digital secara beretika, selaras dengan matlamat jangka panjang organisasi serta kesejahteraan masyarakat dan alam sekitar.

WhatsApp Image 2025 12 05 at 15.21.06 2

Dalam ucapan pembukaan persidangan, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir Dr Abdul Rahman Mohamed menegaskan kepentingan memandu transformasi digital berasaskan nilai, “AI memberi kuasa besar untuk berinovasi tetapi tanpa prinsip ia boleh melemahkan kepercayaan dan nilai kemanusiaan, justeru universiti mesti mendidik dengan kemahiran sambil mengangkat nilai integriti agar teknologi ini kekal bertanggungjawab, inklusif dan memacu kemampanan,” ujarnya.

Dalam ucaptama beliau, Pengasas dan Pengarah Urusan Yusuf Taiyoob Sdn Bhd, Dato’ Seri Yusuf Taiyoob menekankan keperluan memastikan teknologi dipandu oleh nilai, sambil mengingatkan bahawa “kita mesti menerima AI tanpa mengorbankan kemanusiaan kerana teknologi ini turut membawa risiko seperti isu privasi data, penyusunan semula pekerjaan, kebergantungan berlebihan kepada automasi dan kehilangan pertimbangan manusia,” katanya.

Sejak penganjuran sulung pada tahun 1996, AAMC telah menjadi platform penting dalam merangsang kerjasama penyelidikan, pembangunan idea baharu dan perkongsian ilmu, yang merangkumi penyelidikan kolaboratif, pengukuhan jaringan profesional dan perbincangan penemuan penyelidikan merentas pelbagai disiplin pengurusan.

Persidangan turut menyaksikan penganugerahan The Distinguished Business Leader for Social Impact Award 2025 kepada Dato’ Seri Yusuf Taiyoob, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam memacu impak sosial melalui kepimpinan perniagaan yang berintegriti.

WhatsApp Image 2025 12 05 at 15.21.06 1

Manakala The Distinguished Alumni Award 2025 diberikan kepada Dato’ Log. Ts. Dr. Chang Kah Loon, Ketua Eksekutif AK Academy, bagi menghargai pencapaian beliau sebagai alumni USM yang telah memberi sumbangan signifikan dalam bidang pengurusan dan pembangunan kepimpinan industri.

WhatsApp Image 2025 12 05 at 15.21.08

Program persidangan ini turut diserikan dengan persembahan nyanyian oleh Haziq Rosebi serta penyampaian pengiktirafan Felo Industri Pusat Pengajian Pengurusan USM kepada penerima yang diraikan.

AAMC 2025 dijangka memperkukuh kedudukan USM dan AAM dalam menerajui perbincangan akademik mengenai amalan pengurusan, digitalisasi dan kemampanan, selaras dengan komitmen universiti dalam mempromosikan penyelidikan berimpak tinggi di peringkat antarabangsa.

Dengan tumpuan khusus kepada penggunaan AI secara beretika dan bertanggungjawab, persidangan ini diharap dapat membuka ruang dialog konstruktif serta memacu hala tuju baharu kepada dunia perniagaan dan penyelidikan masa depan, melalui penglibatan aktif sarjana, industri dan pembuat dasar.

WhatsApp Image 2025 12 05 at 15.21.10

Turut hadir dalam persidangan ialah Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Tuan Haji Aminuddin Zulkipli; Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Dr Mariatti Jaafar @ Mustapha; Encik Mohd Azizudin Mohd Shariff; Pendaftar USM; Dekan Pusat Pengajian Pengurusan merangkap Presiden AAM, Profesor Dr Noor Hazlina Ahmad; pegawai utama universiti serta wakil agensi kerajaan dan industri.

Teks: Muhammad Airul Afzan Azlan, intern @ MPRC & Shafinaz Md Ismail/Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 157

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025