USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM-TEXCHEM BANGUNKAN PUSAT PEMBENIHAN KETAM KOMERSIAL

041013-1

PULAU PINANG, 7 Okt. 2013 – Universiti Sains Malaysia (USM) mengukuhkan kolaborasi dengan rakan strategik dari sektor industri, Texchem Food Sdn. Bhd khususnya dalam membangunkan pusat pembenihan ketam komersial pertama di dunia.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, pusat pembenihan itu diwujudkan bagi membolehkan proses menghasilkan benih ketam berskala tinggi yang berupaya mendatangkan manfaat kepada sektor akuakultur di negara ini.

Katanya, fasa pertama pembangunan pusat tersebut yang terletak di Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) USM akan menjurus kepada penyediaan struktur fizikal bagi membolehkan proses pembenihan benih ketam dijalankan.

``Kita juga akan mengkaji langkah-langkah terbaik untuk manambah jangka hayat dan pengeluaran anak ketam termasuk menggunakan bahan nutrisi termaju dan teknik kultur,’’ ujarnya dalam sidang media selepas menandatangan memorandum perjanjian (MoA) di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, melalui MoA itu juga Texchem telah menyediakan peruntukan dana berjumlah RM100,000 dalam bentuk geran penyelidikan dan ia akan disalurkan secara tahunan bagi menampung perbelanjaan keseluruhan projek itu yang menelan kos RM300,000 setahun.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Texchem, Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Fumihiko Konishi turut hadir dalam majlis penandatanganan MoA tersebut.

Omar juga berkata, kerjasama strategik itu juga bertujuan untuk membangunkan kajian untuk melihat kepentingan maklumat biologi dan memahami perkembangan fisiologi ketam, selain turut bermatlamat membangunkan kapasiti sumber manusia dalam bidang akuakultur.

``Kerjasama dengan Texchem telah bermula sejak 2011 dan sehingga kini ia berkembang dengan baik dan mengikut perancangan yang diatur, secara lebih spesifik kolaborasi ini dijalin dengan CEMACS USM,’’ ujarnya.

Dalam pada itu, Fumihiko pula berkata, Texchem menaruh kepercayaan yang tinggi terhadap para penyelidik USM dalam menjayakan kolaborasi tersebut, selaras dengan keupayaan USM sebagai sebuah universiti terkemuka di negara ini.

``Bersesuaian dengan status Texchem sebagai pengeluar dan pengimport ketam nipah terbesar dunia, kerjasama yang dijalankan itu dilihat sebagai antara penambahbaikan yang dapat mengukuhkan lagi pengeluaran dan penawaran hidupan marin tersebut.

``Permintaan terhadap ketam nipah kian meningkat saban tahun dan kolaborasi ini diharap dapat membuahkan hasil yang dapat memenuhi keperluan kedua-dua pihak,’’ ujar beliau. Teks: Marziana Mohamed Alias / Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 1615

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024