USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROGRAM AI KNOW: USM PERKASA KOMUNITI KAMPUNG SUNGAI TENGAS DENGAN PENGETAHUAN KECERDASAN BUATAN

WhatsApp Image 2025 12 04 at 19.46.30

KULIM, 23 November 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui kursus SAW402 Seminar Antropologi dan Sosiologi 2 di bawah penyeliaan Dr Nur Hafeeza Ahmad Pazil telah menganjurkan Program AI know di Kampung Sungai Tengas, Kulim, Kedah, yang berlangsung selama tiga hari dua malam dan melibatkan 35 pelajar serta 13 keluarga angkat dengan fokus memperkukuh hubungan universiti komuniti dan meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap teknologi digital.

WhatsApp Image 2025 12 04 at 19.46.29 1

Sebagai tradisi tahunan kursus SAW402, para pelajar ditempatkan bersama keluarga angkat dan mengikuti pelbagai aktiviti desa seperti berkebun, berjalan cergas, mempelajari pembuatan makanan tradisional seperti peneram, cucur jawa, muruku dan ikan pekasam, gotong royong, kenduri sekampung serta persembahan pada Malam Pesta Komuniti, yang membantu mengukuhkan hubungan sosial selain memberi peluang kepada pelajar memahami budaya dan gaya hidup masyarakat luar bandar secara lebih mendalam.

WhatsApp Image 2025 12 04 at 19.46.30 1

WhatsApp Image 2025 12 04 at 19.46.30 2

Fokus program tahun ini ialah pendedahan mengenai kecerdasan buatan melalui bengkel interaktif merangkumi penghasilan imej, video ringkas, audio, penceritaan digital, bahan pembentangan serta asas pembinaan aplikasi web dan permainan, berdasarkan hasil kajian lapangan yang menunjukkan tahap pengetahuan dan kemahiran AI dalam kalangan penduduk masih rendah tetapi minat mempelajarinya sangat tinggi tanpa mengira usia.

Menariknya, ramai peserta tidak menyedari bahawa mereka telah menggunakan ciri berasaskan AI dalam kehidupan harian melalui telefon pintar dan carian dalam talian, sekali gus menunjukkan keperluan memperluas literasi digital di peringkat komuniti.

Menurut pensyarah kursus, Dr Nur Hafeeza , program seperti ini memberi manfaat kepada komuniti dan pada masa yang sama menjadi platform penilaian pembelajaran pelajar, yang dinilai melalui tiga hasil pembelajaran iaitu kemahiran kognitif, kemahiran personal dan kemahiran kepimpinan menerusi tugasan menyampaikan ilmu, berinteraksi, memimpin sesi pembelajaran serta melaksanakan penyelidikan lapangan.

Program AI know turut menyokong pelaksanaan SDG 4 Pendidikan Berkualiti dan SDG 11 Bandar dan Komuniti Mampan, melalui usaha meningkatkan literasi digital serta memupuk hubungan kukuh antara universiti dan masyarakat luar bandar.

WhatsApp Image 2025 12 04 at 19.46.32 1

WhatsApp Image 2025 12 04 at 19.46.32

Melihat sambutan yang positif, Hafeeza menyatakan komitmen untuk meneruskan program pemerkasaan digital ini pada masa hadapan, dengan perancangan modul latihan yang lebih komprehensif dan bersesuaian dengan keperluan semasa komuniti.

Teks & Foto: Dr. Nur Hafeeza Ahmad Pazil, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan

  • Created on .
  • Hits: 174

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2025